Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berpendapat adalah tidak adil untuk menambah waktu bekerja kakitangan kerajaan tidak berpejabat ditambah berbanding tempoh sedia ada.
Katanya kadar waktu bekerja sedia ada ialah 42 jam seminggu dan akan ditingkatkan kepada 45 jam seminggu mulai 1 Dis ini.
Lim yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan itu menganggap langkah tersebut akan menyebabkan percanggahan di antara pekerja berpejabat dengan tidak berpejabat.
"Itu yang kita tuntut untuk kumpulan ini. Saya rasa ada lebih 100,000 pekerja yang terjejas," katanya.
Sementara itu senator mewakili Pulau Pinang, Dr RA Lingeshwaran yang mengiringi Lim mengadakan sidang media di parlimen berkata, ketetapa itu perlu dikaji dengan mendalam sebelum dilaksanakan.
Katanya, langkah berkenaan akan menjejaskan lebih 77,000 jururawat di seluruh negara.
Keputusan menambah jumlah waktu bekerja itu dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ia menyatakan "Jumlah jam bekerja bagi waktu bekerja bukan pejabat ditambah baik dengan menyamakan dengan jumlah jam waktu bekerja pejabat iaitu 45 jam seminggu termasuk rehat."
Menurut pekeliling itu lagi, seseorang ketua jabatan "boleh menyusun jadual waktu bekerja pegawainya antara empat hingga enam hari seminggu dan hari rehat pula antara satu hingga tiga hari seminggu."
Selain daripada sektor penjagaan kesihatan, katanya, langkah itu juga akan menjejaskan sektor kritikal lain seperti perkhidmatan kecemasan dan keselamatan.
Sebagai perbandingan Lingeshwaran menyatakan kakitangan kerajaan berpejabat pula dijangka bekerja 38 jam seminggu.
Pada masa yang sama dia menegaskan pekerja bukan pejabat mempunyai persekitaran kerja yang berbeza dengan cabaran yang lebih besar.
"Contohnya, jururawat dan penolong pegawai perubatan, pemandu ambulans dan juga polis.
"Kalau jururawat, mereka terpaksa menjaga pesakit dan dalam keadaan bekerja biasanya tak sempat nak duduk atau berehat demi kelangsungan perkhidmatan yang perlu diteruskan sepanjang masa," katanya.
Tambah bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap itu lagi, pasangan suami isteri yang bekerja syif pula berdepan isu lain seperti terpaksa mengeluarkan lebih banyak belanja untuk penjagaan anak, selain masa untuk bersama keluarga yang semakin terbatas.
Lim pula berkata dia akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berhubung perkara tersebut.