Paling Popular
Terkini

Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini meminta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan alasan kementerian itu menjadi tuan rumah kepada delegasi kerajaan Afghanistan yang kini di bawah pimpinan Taliban.

Lim berkata dia membangkitkan isu itu bukan sahaja sebagai wakil rakyat, tetapi juga sebagai seorang yang memandang serius hak asasi manusia, khususnya pendidikan wanita.

“Mengapa Kementerian Pendidikan membenarkan lawatan sedemikian daripada sebuah negara yang tak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia dan pada masa yang sama lebih penting lagi, ialah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti?" katanya pada sidang media di parlimen.

Tambah Lim, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, yang juga daripada DAP, tidak mengetahui tentang lawatan delegasi itu.

Sabtu lalu (16 Nov), Fadhlina mengesahkan lawatan delegasi itu, yang berangsung awal bulan ini.

Menurut Free Malaysia Today, dia berkata bahawa dia berkongsi pandangan tentang pendidikan dengan delegasi berkenaan.

Laporan daripada Radio Televisyen Afghanistan berkata, ketua pengarah Kementerian Pendidikan negara itu, Shahabuddin Saqib mengetuai delegasi berkenaan.

Sementara itu, Lim mempersoalkan faedah yang diperoleh menerima delegasi sedemikian di Malaysia.

Dia juga bertanya sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia ada membangkitkan mengenai sekatan Afghanistan terhadap pendidikan wanita melebihi sekolah rendah.

"Kita nak tanya adakah perkara ini dibangkitkan oleh pihak kementerian tentang dasar diskriminasi dan pengharaman ini.

"Dan sebagai seorang menteri wanita, saya percaya menteri pendidikan amat prihatin juga tentang perkara ini," tambahnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ogos, Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Audrey Azoulay menganggarkan sekurang-kurangnya 1.4 juta wanita dinafikan pendidikan menengah di Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

“Jika kita mengambil kira wanita yang sudah tidak bersekolah sebelum larangan itu diperkenalkan, kini terdapat hampir 2.5 juta wanita di negara itu dilucutkan hak mereka untuk mendapat pendidikan, mewakili 80 peratus daripada kanak-kanak wanita Afghanistan,” katanya.

Pada Mac tahun lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan memperbaiki hubungannya dengan Afghanistan.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap pendidikan wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS