Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama PAS tegur asatizah leka kejar sanjungan kerajaan
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengajak asatizah (golongan ustaz dan ustazah) semasa untuk bersama parti itu mendepani kerajaan sekarang yang dilabelnya sebagai liberal.

Menganggap asatizah terbabit seperti kanak-kanak yang leka dan terbuai oleh khayalan, Timbalan Ketua DUPP, Zulkifli Ismail berkata golongan berkenaan perlu menyelamatkan Islam yang dianggapnya "terancam" di negara ini.

Sebelum ini, kata Zulkifli, orang Melayu sangat sensitif terhadap kesucian Islam hasil didikan ulama silam.

Pun begitu, dakwa ahli parlimen Jasin, keadaan sudah berbuah dengan asatizah semasa lebih mengutamakan populariti, mengharap sanjungan kerajaan, dan keselesaan hidup.

"Ustaz (Zulkifli) berharap para asatizah kontemporari dapat kembali mengambil tanggungjawab dengan berani untuk mempertahankan kesucian Allah dan seterusnya mencorakkan umat dengan Islam yang semakin terancam.

"(Juga) Menjadi benteng pertahanan ilmu dan akidah berdepan langkah-langkah songsang kerajaan liberal yang ada, serta menjadi segmen masyarakat yang benar-benar berfungsi melakukan semak imbang terhadap penyelewengan pemerintah dari jalan Islam yang lurus," katanya dalam kenyataan semalam.

Zulkifli yang sebelum ini menarik perhatian ramai kerana membacakan Qunut Nazilah di Dewan Rakyat menambah, golongan asatizah negara ini perlu bertindak segera.

Kegagalan berbuat demikian, dakwanya, akan menyebabkan "krisis peradaban bangsa Melayu Islam" di negara ini akan merebak dengan lebih meluas.

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan dengan lebih lanjut asatizah mana yang dimaksudkannya sedang leka dibuat kemasyhuran dan mengharap pujian kerajaan itu.

Krisis peradaban Melayu

Dalam kenyataan sama, Zulkifli memberi penjelasan isu berkenaan dengan memetik sejarah Jepun yang didakwanya menanggung kesan daripada dasar sistem kapitalis dari Barat.

Dakwa Zulkifli, kesan daripada gelombang tersebut Jepun terjerumus ke dalam sistem ekonomi dan industri yang kosong nilai etika.

Katanya, aktiviti yang berorientasikan keuntungan bukan sahaja menjadikan generasi baru Jepun kehancuran moral bahkan berlakunya kerosakan alam sekitar.

Zulkifli mendakwa, daripada kerosakan itulah bermulanya krisis peradaban di Jepun sehingga rakyatnya tidak lagi memiliki kesedaran moral yang tinggi serta meninggalkan agama dan falsafah negara.

Dalam konteks Malaysia, katanya, ada penyakit mula menjangkiti ahli-ahli politik Melayu "berfahaman liberal" kerana yang menolak agama menjadi neraca pentadbiran.

Mereka juga, dakwa ahli politik itu, menormalisasikan budaya mengabaikan dan merendah-rendahkan kesucian tuhan dalam polisi di pelbagai.

"Adalah berkemungkinan besar (gejala itu) bakal merebak kepada seluruh sektor masyarakat dan akhirnya bertukar menjadi krisis peradaban bangsa Melayu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS