Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO disoal siasat hampir 7 jam, fail laporan SPRM terhadap KM Sabah
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon disoal siasat selama hampir tujuh jam berhubung laporan SPRM yang dibuat terhadapnya.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa dia diarahkan ke ibu pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu untuk satu lagi sesi pagi ini.

Malaysiakini difahamkan Jontih hadir ke ibu pejabat SPRM itu pada jam 2.30 petang semalam. Ini adalah atas dakwaan bahawa dia bersekongkol dengan pemberi maklumat yang mencemarkan kerajaan negeri dengan beberapa siri video yang mendakwa skandal rasuah.

Susulan itu, bekas ketua pegawai eksekutif itu turut memfailkan laporan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Laporan terhadap Jontih itu difailkan beberapa jam selepas Malaysiakini menyiarkan video dia menuduh ketua menteri itu menyalahgunakan kuasa berhubung pemberian lesen carigali mineral di negeri itu.

Laporan itu mendakwa bahawa Hajiji yang "sangat kecewa" memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak Jontih dengan SMM Jonith selepas mengetahui dakwaan pakatan sulit ini.

Ahad lalu, Jontih menafikan dia berpakat dengan pemberi maklumat tersebut dan mendakwa ada bukti bagi menyokong dakwaan salah guna kuasa Hajiji.

Katanya,  bukti yang dimaksudkannya adalah “minit mesyuarat lembaga pengarah SMM”, “nota penerangan bercetak kepada ketua menteri” daripadanya dan “pesanan teks daripada ketua menteri”.

“Semua bukti ini disimpan dengan selamat oleh seseorang, di suatu tempat. Saya sanggup untuk menyerahkannya kepada SPRM,” katanya kepada Malaysiakini.

Keesokan harinya, SMM berkata ia akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas CEO itu kerana bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk memberi manfaat kepada “entiti yang berisiko ada konflik kepentingan.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS