Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Pahang tahan 5 suspek edar dadah, rampas 2 pistol

Polis Pahang menahan lima suspek dipercayai menjadi pengedar dadah dan merampas dua pucuk pistol dalam serbuan di sekitar Bandar Pusat Jengka, dekat Maran.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata serbuan tersebut dilakukan pada 14 Nov lalu dan dilaksanakan hasil risikan dan maklumat awam.

Yahaya berkata, semua suspek berusia 24 hingga 35 tahun. Katanya empat daripada mereka adalah warga tempatan, manakala seorang lagi rakyat Thailand.

"Ketua kumpulan ini berusia 26 tahun dan memiliki 14 rekod jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Semua suspek yang ditahan positif dadah amphetamine.

"Hasil serbuan dan tangkapan, polis merampas lima peket lut sinar dipercayai dadah jenis heroin, enam paket lut sinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu dan dua paket lut sinar mengandungi 21 biji pil dipercayai Yaba," katanya dalam sidang media di Balai Polis Kuala Krau, dekat Temerloh, hari ini.

Turut ditemui dan dirampas dalam serbuan itu, katanya, dua pucuk pistol, masing-masing pistol angin dan pistol tulen jenis separa auto.

Kata Yahaya, pistol angin itu dirampas bersama satu kelopak peluru mengandungi 19 butir bebola besi, selain 97 butir bebola besi lain dipercayai untuk kegunaan pistol berkenaan.

"Bagi pistol tulen jenis separa auto pula, polis merampas satu kelopak pistol mengandungi dua butir peluru hidup.

"Pistol itu sudah dikacau ganggu dengan nombor sirinya dipercayai sudah dipadamkan oleh suspek," jelasnya.

Yahaya memberitahu kumpulan terbabit dipercayai mula aktif sejak awal Ogos lalu dengan menjadikan kawasan sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda di Maran sebagai lokasi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Katanya, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sementara itu dalam kes berasingan, Yahaya memaklumkan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun kerana memiliki senjata api jenis pump gun dalam Op Bersepadu Khazanah berhampiran Hutan Simpan Kemasul, dekat Lanchang, pada 9 Nov lalu.

Dia berkata, suspek mengaku tidak memiliki lesen untuk senjata api jenis Remington 870 Express itu.

"Berdasarkan fakta, kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS