Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS S'gor gesa Nga mohon maaf kerana 'perlekeh institusi zakat'
Diterbitkan:  Nov 20, 2024 12:11 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Pemuda PAS Selangor menggesa Ketua Whip Parlimen DAP Nga Kor Ming menarik balik kenyataannya yang disifatkan memperlekehkan insitusi zakat.

Gesaan itu hadir susulan kenyataan Nga yang mahu menyumbang sebulan gaji ahli parlimennya kepada Pemuda DAP (Dapsy) yang menurutnya merupakan sayap parti yang paling miskin dan layak menerima “zakat”.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata kenyataan ahli parlimen Teluk Intan itu bukan sahaja tidak berasas, malah menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti umat Islam terhadap institusi zakat yang sangat dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat Islam.

"Menjadikan isu zakat sebagai bahan sindiran atau alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Kami menegaskan bahawa zakat tidak boleh dan tidak sepatutnya digunakan dalam perbandingan dengan kedudukan mana-mana parti politik.

"Sikap DAP yang cuba memperlekehkan institusi zakat dengan kenyataan sedemikian adalah sangat dikesali, seolah-olah tidak memahami sensitiviti umat Islam dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada 17 Nov lalu, ketika berucap merasmikan Kongres DAP Kebangsaan 2024, Nga yang juga menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata sebagai bekas ketua Pemuda DAP dua mahu menyumbang satu bulan gaji ahli parlimen kepada sayap parti yang pernah diterajuinya itu.

“(Sumbangan) ini bagi miskin papa kedana, kita ikut sudah masuk asnaf fakir miskin, boleh layak untuk mendapat zakat

“Jadi memang antara (Sayap) parti paling miskin di Malaysia,” katanya seperti dilapor media.

Sementara itu, Mohamed Sukri menyeru pemimpin DAP lebih peka terhadap sensitiviti agama dalam membuat kenyataan awam agar tidak mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.

"Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa agar pihak DAP, khususnya Nga agar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf atas kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Kami berharap agar tindakan ini tidak diulang kerana ia hanya akan mencemarkan semangat keharmonian dan saling hormat yang kita bina bersama.

"Semoga semua pihak terus menjaga adab dan tatacara dalam membuat kenyataan awam demi memastikan keharmonian dan perpaduan negara kita sentiasa terpelihara," katanya.

Malaysiakini sedang menghubung Nga bagi mendapatkan ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS