PARLIMEN l Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan lebih 2,000 operasi dari 2022 hingga Oktober tahun ini yang membawa kepada pertuduhan terhadap 190 individu kerana memiliki MyKad palsu atau milik orang lain.
Berucap pada Waktu Soal Jawab di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebanyak 2,103 operasi dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh itu termasuk dengan kerjasama Jabatan Imigresen, SPRM dan polis.
“Daripada jumlah itu, 1,606 operasi penguatkuasaan JPN, manakala 457 operasi bersepadu,” katanya ketika menjawap soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
“Hasil dari operasi, JPN tahan 519 individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Daripada jumlah tersebut, 190 didakwa - 130 (kerana memiliki) kad pengenalan palsu, 60 kad (kerana) kada pengenalan milik orang lain,” kata Shamsul Anuar.
Katanya, daripada itu, kerajaan melihat ada keperluan untuk membangunkan teknologi MyKad baru yang lebih terkini untuk menangani isu-isu keselamatan.
Terdahulu, Shamsul Anuar dalam jawapannya kepada Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkata kerajaan dalam proses menjalankan penyelidikan pasaran bagi mendapatkan nilai terbaik dalam penghasilan reka bentuk MyKad baharu.
MyKad semasa telah diperkenalkan oleh JPN pada 5 September 2001 sebagai dokumen yang menggabungkan kedua-dua pengenalan foto dan data biometrik cap jari pada cip komputer terbina yang dibenamkan.