PARLIMEN | Tahun depan, Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan inisiatif baru yang mungkin memerlukan kos pencetakan kepada mereka yang ingin mendapatkan lesen fizikal.
Bagaimanapun, menteri Anthony Loke tidak menjelaskan secara terperinci tentang bayaran pencetakan yang akan dikenakan kepada pengguna.
"Awal tahun depan, kita akan umumkan satu insiatif kepada mana-mana pihak ataupun orang ramai yang ingin mencetak lesen mereka secara fizikal, mungkin mereka kena bayar untuk pencetakan tersebut dari segi kad fizikal itu,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini.
Loke menyentuh mengenai peralihan digital kementeriannya, mengatakan bahawa ia adalah antara kementerian yang paling berminat dengan langkah pendigitalan nasional.
Katanya, aplikasi telefon pintar MyJPJ Kementerian Pengangkutan telah digunakan untuk lebih satu juta transaksi membabitkan pembaharuan cukai jalan dan lesen digital.
“Dari segi penggunaannya (MyJPJ) dan setakat ini dari segi transaksi orang yang perbaharui cukai jalan ataupun lesen mereka telah mencecah lebih satu juta transaksi dan kita dari segi jumlah kutipan daripada MyJPJ ini, setakat 31 Ok, telah mencatat hampir RM121 juta.
"Jadi penggunaan dan juga untuk membantu keberkesanan orang ramai dan juga jabatan, memang dilihat keberkesanannya. Memang ada penjimatan dari segi pencetakan," katanya lagi.
Pada Februari tahun lepas, Loke mengumumkan pelekat cukai jalan fizikal tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan milik persendirian, susulan usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan JPJ.
Pada Januari tahun ini, dia berkata pengguna aplikasi MyJPJ boleh berkongsi cukai jalan digital mereka dengan orang lain menggunakan fungsi “Kongsi LKM” baru.