EKSKLUSIF | Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan tiada anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terlibat menumbuk muka warga asing di ruang rehat NTL (not to land) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, baru-baru ini.
Jurucakap KDN berkata penglibatan anggota JIM dalam sesuatu kes kemasukan warga asing ialah sama ada membenarkan mereka memasuki Malaysia atau sebaliknya.
Kata jurucakap itu, apabila seseorang warga asing tiba di negara ini JIM akan menentukan sama ada mereka dibenarkan masuk atau dihalang.
"Dalam insiden ini tiada staf JIM yang terlibat.
"Apabila JIM menolak kemasukan seseorang warga asing itu, mereka di hantar ke kawasan NTL," katanya kepada Malaysiakini.
Urusan selepas itu, kata jurucakap terbabit, dikendalikan oleh syarikat penerbangan yang membawa individu terbabit ke negara ini.
KDN ditanya mengenai laporan eksklusif Malaysiakini hari ini yang mendedahkan seorang warga asing ditumbuk semasa berada di kawasan NTL di KLIA.
Portal berita ini juga menerima beberapa klip video daripada seorang pelancong berstatus (NTL) yang mengadu mengenai layanan terhadap warga asing yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia.
Kenapa beri pas masuk
Dalam klip video tiga saat yang dipercayai diambil pada 11 Nov lalu, seorang pegawai dilihat menumbuk muka seseorang atas sebab yang tidak pasti sebelum mangsa diminta pergi ke suatu tempat seperti bilik.
Dalam satu lagi video - juga tiga saat - pegawai sama menjerit "Ingat aku kuli, sial!" kepada warga asing yang berada di situ.
Sementara video ketiga sepanjang 22 saat menunjukkan keadaan di NTL yang sesak dan terdapat pelancong asing duduk serta berbaring di lantai.
Ruang NTL pernah dikendalikan oleh syarikat swasta, Mono Circle Sdn Bhd (Mono Circle), sejak 2015. Bagaimanapun syarikat itu tidak lagi bertanggungjawab dalam hal berkenaan ketika ini.
Jurucakap KDN itu menambah sesebuah syarikat penerbangan perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam urusan membawa dan menghantar pulang warga asing.
"Sebelum ini, pengendali penerbangan berpakat melantik Mono Circle untuk urusan 'penjagaan' kedatangan warga asing seperti menyediakan makanan, minuman dan tiket pulang.
"Namun, timbul fitnah yang mendakwa kononnya JIM kutip duit. Itu tak benar.
"Sebab itu menteri (Saifuddin Nasution Ismail) membuat keputusan berdasarkan undang-undang bahawa syarikat pengendali penerbangan perlu bertanggungjawab ke atas warga asing terbabit.
"Mereka yang terbangkan masuk, maka mereka juga mesti terbangkan keluar semula.
"Kenapa beri boarding pass (pas masuk) walhal mereka tiada tiket pulang?" katanya.
Jurucakap itu juga menambah syarikat Mono Circle tidak lagi mengendalikan operasi di ruang rehat NTL.
"Kamu (pengendali penerbangan) yang lantik Mono Circle tetapi mereka sudah tidak beroperasi lagi.
"Sekarang pengendali penerbangan tak boleh 'cuci tangan' dan menjadi tanggungjawab mereka untuk sediakan makanan, minuman dan tiket pulang.
"Ini memang amalan di peringkat antarabangsa," katanya.
Saifuddin sebelum ini berkata kerajaan memutuskan bahawa syarikat pengendali penerbangan mesti menguruskan sendiri warga asing yang dinafikan masuk ke Malaysia.
Katanya, keputusan itu dibuat selaras dengan peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Akta Imigresen Malaysia.
Untuk rekod, pemilihan Mono Circle dibuat oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) KLIA untuk menguruskan hal ehwal penumpang di NTL.
Ia merupakan sebuah badan yang terdiri daripada 40 pengendali penerbangan dan 26 syarikat bersekutu.
Walaupun KDN mengesahkan Mono Circle tidak lagi beroperasi di NTL, carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 19 Nov menunjukkan alamat perniagaan syarikat itu ialah di Dewan Ketibaan Tingkat 3 KLIA.
Menurut Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB), seseorang itu berstatus NTL atas pelbagai sebab termasuk melibatkan isu pasport, visa, sejarah jenayah dan risiko keselamatan.
Kuasa menentukan status berkenaan terletak bawah syarikat penerbangan dan JIM.
Malaysiakini sudah menghubungi syarikat penerbangan yang berkaitan dan sedang menunggu maklum balas mereka.