Orang sering bertanya kepada saya, "Apakah pencapaian anda yang paling membanggakan di Malaysiakini?" Anehnya, jawapannya bukan impak politik yang telah kami cetuskan. Hal itu agak mudah, terutama ketika media arus perdana sering tidak dapat - atau tidak mahu - melaporkan hal dan isu yang benar-benar penting.
Apa yang membanggakan saya ialah Malaysiakini merdeka dari sudut kewangan. Tidak ramai yang percaya laman web kecil seperti kami akan bertahan sekian lama, apatah lagi selama suku abad.
Perjalanan kami tidak mudah. Kami telah menghadapi pelbagai cabaran, tetapi selepas melalui semua itu, kami tetap bebas secara kewangan. Tahun demi tahun, kami berjaya pulang modal, malah ada kala meraih keuntungan yang sederhana. Dan beberapa kali, ketika kami berdepan kesukaran kewangan, kami menyesuaikan diri. Kami mengurangkan kos dan berjimat cermat - tetapi kami tetap teguh dengan misi kami.
Kami melakukannya dengan cara berjimat cermat. Editor dan pengurusan utama kami mengambil gaji lebih rendah daripada pasaran. Kami juga mempelbagaikan aliran pendapatan - dengan bergantung pada langganan, pengiklanan dan penganjuran acara. Dan apabila keadaan menjadi sukar, kami beralih kepada aset terbesar kami - yakni anda, pembaca kami. Daripada membantu kami membayar hukuman denda mahkamah yang tinggi sehinggalah membiayai pembinaan ibu pejabat kami, sokongan yang anda berikan sungguh luar biasa.
Profesor Madya Universiti Malaysia Perlis Murray Hunter baru-baru ini menggambarkan Malaysiakini sebagai kesan daripada “peristiwa black swan”. Pada pertengahan tahun 1990-an, bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, dalam usaha menarik pelaburan asing untuk projek Koridor Multimedia (MSC), telah membuat janji yang tidak dijangka - tiada penapisan terhadap internet.
Mahathir kemudian dengan berat hati mengakui keputusan itu datang daripada panel penasihat antarabangsa MSC, antaranya dianggotai pengasas Microsoft Bill Gates dan ahli futurologi Alvin Toffler. Tetapi apa yang tidak dijangka Mahathir ialah kemunculan syarikat rintisan seperti Malaysiakini.
Diancam kepupusan
Hari ini, Malaysiakini berdepan satu lagi “peristiwa black swan”. Kali ini, ia adalah krisis eksistensial yang bukan sahaja dihadapi kami tetapi juga ke atas media bebas di seluruh dunia. Ada yang menyebutnya sebagai “extinction-level event (keadaan yang boleh membawa kepupusan)”.
Memang, corak pembacaan berita telah berubah secara dramatik - dan barangkali ia tidak akan seperti dulu lagi. Hanya sedikit orang yang masih membaca akhbar, dan hari demi hari, semakin kurang orang yang mengunjungi portal berita. Sebaliknya, platform seperti TikTok, WhatsApp dan YouTube menjadi sumber maklumat yang utama. Kebanyakan orang kini beralih kepada media sosial untuk hiburan dan bahan-bahan yang lain, bukan berita serius. Bagi audiens yang lebih muda, "berita" boleh membawa maksud apa sahaja - dari gosip selebriti hingga ke trend fesyen.
Tenggelam dalam jumlah kandungan yang begitu banyak, audiens mengalami rasa lelah dan bosan dengan berita. Malah ramai yang memilih untuk langsung tidak mengikuti berita. Dan jangan lupa akan kebanjiran kandungan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI). Limpahan bahan bergred rendah telah menjejaskan kewartawanan bermutu, yang dikaji dengan baik dan fakta yang disemak.
Pengiklan juga mengelakkan laman web berita politik, melabelnya sebagai "tidak selamat". Mereka lebih memilih platform yang membuatkan audiens gembira, bukannya marah. Akibatnya, banyak organisasi media bergelut untuk memiliki model pendapatan berasaskan pembaca yang berjaya, dengan pembaca enggan mengeluarkan wang untuk berita di saat ada banyak kandungan percuma di internet.
Di tengah-tengah keadaan ini, generasi baru pencipta kandungan muncul - apa yang dipanggil sebagai pempengaruh. Dengan kos yang minimum, mereka menghasilkan kandungan yang sarat dengan pendapat tetapi lazimnya dangkal. Mereka menarik perhatian yang setanding dengan wartawan tradisional, kalau pun tidak lebih.
Dengan suara mereka memenuhi ruang yang sudah sedia tepu, apa yang selalunya tiada pada mereka adalah kerja-kerja yang dilakukan wartawan - berita yang boleh dipercayai dan jujur yang mempertanggungjawabkan pihak yang memegang kuasa. Namun, hasil kerja merekalah yang menyampaikan catatan-catatan yang paling menambat perhatian berkenaan peristiwa tempatan dan global yang paling menarik.
Bukan jumlah kandungan sahaja yang mengancam kami - tetapi juga penghakisan standard. Di Malaysiakini, kami sentiasa mengimbangi inovasi media baru dengan ketelitian kewartawanan tradisional. Tentunya kami tidak sempurna tetapi kami berusaha untuk menegakkan prinsip ketepatan, pengesahan dan pelaporan beretika. Media sosial ada peranan dalam menyatakan kesilapan dan mengangkat pandangan alternatif, tetapi pencipta kandungan mesti meletakkan diri mereka di standard tinggi yang sama seperti yang mereka tuntut daripada wartawan.
Dengan tekanan kewangan yang kian meningkat, semakin sukar untuk organisasi media melawan tekanan daripada kuasa kepentingan perniagaan mahupun kerajaan yang mahu mengawal media dengan ketat. Semakin berkurang organisasi media yang akan dapat terus berdiri teguh dan enggan berkompromi dalam menyatakan kebenaran.
Tetapi walaupun dengan meningkatnya pembacaan berita yang dipacu oleh media sosial, saya percaya masih terdapat keinginan fundamental untuk kewartawanan yang boleh dipercayai dan berasaskan fakta. Lagipun, demokrasi bergantung padanya. Dengan kekurangan laporan berita yang sah dan bertanggungjawab, maklumat yang salah akan dapat tersebar meluas di kalangan masyarakat - dan pihak yang memegang kuasa pula kekal tidak disemak.
Minoriti Kecil
Menurut Laporan Berita Digital 2024, hanya 21 peratus rakyat Malaysia sanggup membayar untuk berita dalam talian. Jika anda sedang membaca artikel ini, kemungkinan besar anda adalah sebahagian kecil yang menghargai kewartawanan bebas. Malaysiakini telah bertahan selama ini kerana pelanggan seperti anda. Dan dengan pendapatan iklan semakin berkurang, kami lebih-lebih lagi memerlukan kalangan minoriti ini.
Jika anda memang sudah menjadi pelanggan Malaysiakini, kami ucapkan terima kasih. Sokongan anda adalah penyelamat kami. Jika anda mampu, pertimbangkan untuk membeli langganan untuk seseorang yang akan mendapat manfaat dengan membaca Malaysiakini. Jika langganan anda telah tamat tempoh, diharap anda akan memperbaharuinya. Dan jika anda belum pernah melanggan sebelum ini, sekarang mungkin masa yang tepat untuk anda bermula.
Pada bulan lalu, kami terpaksa membuat salah satu keputusan paling sukar dalam sejarah Malaysiakini - kami terpaksa melepaskan beberapa ahli pasukan kami. Sepanjang 25 tahun, ini kali kedua kami mengambil tindakan ini. Kali pertama adalah pada awal tahun 2000-an. Ketika itu kami baru berusia lima tahun dan bergelut untuk kekal bertahan. Ia sesuatu yang menyakitkan pada masa itu, dan juga menyakitkan untuk kali kedua. Tetapi keputusan sukar itu membolehkan kami mengharungi badai, dan sejak itu kami kekal di sini - mendokumentasikan perjalanan Malaysia melalui era pasca-Reformasi.
Dengan sokongan anda, kami percaya kami dapat mengharungi "peristiwa yang boleh membawa kepupusan" ini. Bantu kami agar terus dapat menyampaikan berita dan pandangan yang penting. Berdirilah bersama kami di saat kami berdepan saat penentuan ini. Langgan sekarang!
Anda juga boleh menghadiahkan langganan kepada keluarga atau kawan. Selain itu, anda juga boleh memberi sumbangan di sini.
STEVEN GAN adalah pengasas bersama Malaysiakini dan meletakkan jawatannya sebagai ketua pengarang tahun lalu. Dia kini membahagikan masanya antara Thailand dan Malaysia.