Seorang bekas pegawai kanan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik langkah badan induk bola sepak negara mengenakan hukuman tegas ke atas dua pemain yang terlibat dalam pergaduhan baru-baru ini.
Menurut George Joseph ketetapan yang dibuat FAM ke atas Arif Aiman dan Tommy Mawat adalah tepat.
Dia yang pernah menjadi pengarah yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengadil semasa berkhidmat dengan FAM sebelum ini berkata, pada umumnya setiap pegawai perlawanan mahu memberikan yang terbaik.
Namun, katanya, FAM berhak membuat penilaian semula berdasarkan keperluan semasa.
“Sebab itu pada saya, keputusan yang dibuat oleh FAM sangat baik," katanya kepada Malaysiakini.
Joseph berkata demikian sebagai mengulas keputusan FAM mengenakan hukuman gantung tiga perlawanan kepada Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada, masing-masing pemain JDT serta Perak FC hari ini.
Ia susulan insiden pergaduhan fizikal membabitkan kedua-dua pemain berkenaan dalam perlawanan Liga Malaysia di Johor pada 10 Nov lalu. Perlawanan berkesudahan dengan JDT mengalahkan Perak FC 5-0.
Di sebalik insiden yang mengejutkan itu, pengadil hanya memberikan kad kuning kepada kedua-dua pemain.
Lima hari kemudian, FAM merehatkan pengadil dan pegawai video bantuan pengadil (VAF) yang mengendalikan perlawanan tersebut.
Kata Joseph, dalam keadaan tertentu sesuatu insiden itu gagal dilihat dengan jelas walaupun dengan bantuan VAR.
Dalam keadaan begitu, katanya, FAM berperanan untuk menilai semula insiden tersebut lalu memberikan pandangan tertentu.
“FAM bertindak dengan sangat betul apabila mengenakan hukuman gantung tiga perlawanan kepada kedua-dua pemain,” katanya.