Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hanya 3 pintu rasmi sempadan Kelantan-Thailand, kata menteri

Pintu masuk rasmi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata selain tiga ICQS itu, yang lain dianggap ‘laluan tikus’ dan menggunakan laluan berkenaan untuk keluar atau masuk ke negara ini adalah menyalahi undang-undang.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-12 di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Saifuddin mengulas laporan media mengenai pelajar dari Thailand yang merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.

Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini bagi membendung aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan bahan mentah.

Dilaporkan ramai rakyat Thailand dan Malaysia di Sungai Golok bimbang larangan pihak berkuasa Malaysia itu akan memberi kesan terhadap persekolahan anak mereka yang bersekolah di Rantau Panjang.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang permohonan ekstradisi dari Bangladesh yang sebelum ini meminta Malaysia menahan pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor dan rakannya Ruhul Amin.

Dia sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan mahukan supaya Dhaka memberikan penjelasan lanjut berhubung permohonan itu dan telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara Razarudin Husain serta Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berkenaan perkara itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS