Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis minta bantuan kesan wanita hilang sejak Jumaat lalu

Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang sejak keluar bekerja pada Jumaat lepas (15 Nov).

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Junaida Abdul Rahim daripada kakak kandungnya pada 12.58 tengah malam Isnin lalu.

Dia berkata wanita yang masih bujang berketinggian 150 sentimeter itu dipercayai keluar dari rumah sewanya di Seksyen 17 di Shah Alam sekitar 11 pagi menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Triton, dipercayai untuk ke tempat kerja di Subang Jaya. 

“Sejak itu, wanita berkulit kuning langsat dan bertudung itu tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Iqbal berkata kereta dinaiki mangsa yang merupakan pemilik sebuah agensi takaful di Subang Jaya itu telah ditemukan di tepi jalan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dia berkata selain laporan dibuat kakak mangsa, polis turut menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu daripada rakan di tempat kerja serta rakan serumahnya.

“Siasatan awal mendapati tidak berlaku sebarang perselisihan faham antara mangsa dengan rakan serumah dan siasatan diklasifikasikan di bawah orang hilang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Shahrul Bakhri di 012-2630512 bagi membantu siasatan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS