Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Okt lepas, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata kerajaan persekutuan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing, termasuk melarang penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape pada ketika itu, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
"Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan tetapi jika tidak boleh diharamkan kita perlu mengawal selia. Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian bahawa kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024 di Putrajaya hari ini.
Dia turut menjelaskan bahawa Akta 852 menyediakan kerangka perundangan yang lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan vape termasuk pendaftaran, penjualan dan penghantaran.
"Keputusan kementerian untuk kawal selia melalui Akta 852 ini adalah satu langkah perundangan yang lengkap dan sempurna. Kita mengambil sikap untuk mengawal selia dan tidak mengharamkan vape secara menyeluruh," katanya.
Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape di negeri itu.
Baginda bertitah kebimbangan terhadap peningkatan penyalahgunaan dadah, terutama dalam kalangan belia di Pahang, menjadi asas kepada saranan tersebut dan berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) penggunaan vape sering menjadi pintu masuk kepada ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung.
Johor sebelum ini dilaporkan telah melaksanakan larangan menjual vape dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pelbagai rakan strategik lain hari ini melancarkan sambutan WAAW 2024.
Bertemakan "Educate. Advocate. Act Now.", sambutan pada tahun ini menekankan kepentingan pendidikan, advokasi, dan tindakan segera dalam memerangi Kerintangan Antimikrob (AMR). Ia bertujuan meningkatkan kesedaran profesional kesihatan dan masyarakat awam berkaitan ancaman serius AMR.
-Bernama