Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer: Kenapa PDRM tak tangkap pihak ancam keharmonian negara?

PARLIMEN | Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa segera menangkap dan mendakwa individu tertentu yang didakwa sengaja menggugat ketenteraman awam serta keharmonian di negara ini.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata kelewatan bertindak hanya akan memungkinkan berlaku lebih banyak kebencian dan insiden yang tidak diingini, termasuk menghasut.

Antara individu yang disebut Rayer ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Saya meminta polis memberi penekanan dalam menjaga ketenteraman awam di negara kita kerana baru-baru ini banyak sangat kejadian yang boleh mengugat ketenteraman negara kita yang aman dan damai.

“Kenyataan-kenyataan yang membakar sentimen perkauman seperti 'semua yang mata, kulit, darahnya macam kita kena bersatu, kena bangkit' yang diungkapkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, dalam perhimpunan pada 26 Okt.

“Individu-individu seperti ini perlu ditangkap, dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak membuat gesaan agar semua orang yang "mata, kulit macam kita" untuk bersatu.

Razman Zakaria

Ia adalah reaksi ahli politik terbabit kepada insiden sekumpulan individu mengibarkan bendera China semasa sambutan acara kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, Perak.

Bagaimanapun, Razman menafikan dia berniat untuk menghina mana-mana kaum, sebaliknya menyalahkan media kerana mendakwa kenyataan dibuatnya disalah tafsir.

Mengulas lanjut, Rayer mempersoalkan kelewatan polis bertindak terhadap Razman serta individu-individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Kenapa tidak ada sebarang tindakan dan ada 250 orang yang melakukan demonstrasi terhadap Ahli Parlimen Tambun (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) di Putrajaya?

"Tidak ada sebarang permit dikeluarkan dan tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Adakah kita hendak membiarkan individu-individu seperti ini memporak-perandakan ketenteraman negara kita? Kenapa tiada sebarang tindakan?

“Sebelum ini perarakan ala tentera oleh Pemuda PAS di Terengganu - pada 17 Feb 2023 - sampai sekarang tiada tindakan, kenapa?" katanya.

Sebagai ahli parlimen penyokong kerajaan, katanya, dia mahukan PDRM memberi penjelasan atas apa yang berlaku.

Rayer yang juga seorang peguam memberitahu, walaupun negara ini mengamalkan dasar bebas bersuara, langkah tersebut mestilah dibuat dengan beradab.

"Kalau tidak ada sebarang tindakan diambil, pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan memporak-perandakan negara kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS