Junta tentera Myanmar mungkin melindungi ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho, menurut peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.
Muhammad Shafee berkata ia berdasarkan jawapan yang diperolehnya selepas menyoal balas saksi pendakwaan Jasmine Loo dalam perbincaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap bekas perdana menteri itu.
"Pada mulanya dikatakan (dispekulasi) bahawa dia (Low) mungkin berada di China, Dubai atau Macau.
"Tetapi berdasarkan keterangan yang saya dapat daripada Loo, saya fikir dia (Low) berada di Myanmar dan dilindungi oleh jeneral (junta)," katanya di acara "Media Townhall: Getting the Facts Right: The Untold Stories - 1MDB and Other Cases" di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, hari ini.
“Dia boleh mendapatkan pasport untuk Jasmine (Loo) memasuki Myanmar tanpa pasport Malaysia dicop,” katanya lagi, sambil menambah Loo menyatakan yang dia yakin Low mengatur kemasukannya ke negara itu.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai mengapa pihak berkuasa Malaysia sukar membawa pulang Jho Low.
Peguam itu merujuk kepada keterangan Loo pada April lalu yang dia berdepan masalah dengan junta tentera Myanmar ketika cuba memasuki negara tersebut dengan pasport yang tidak dicop pada 2019.
Loo yang merupakan bekas penasihat undang-undang 1MDB adalah antara 50 saksi pendakwaan yang memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib.
Dia pernah menjadi sebahagian antara orang kepercayaan Jho Low, yang menurut pihak pendakwaan bertindak bagi pihak Najib dalam 1MDB.
Pasukan peguam Najib bagaimanapun menegaskan Najib tidak tahu-menahu berkenaan salah laku dalam 1MDB dan penyelewengan yang berlaku didalangi Jho Low dan anggota pengurusan syarikat itu.
‘Lapor secara adil’
Dalam acara tersebut, Shafee menggesa media agar melaporkan kes jenayah Najib secara adil.
“Media adalah kuasa keempat. Jika anda gagal melaksanakan tugas untuk melaporkan dengan adil, keadilan akan gagal (ditegakkan) dan kesannya akan menimpa anak cucu anda. Anda membiarkan sistem tanpa sebarang semak dan imbang,” katanya.
Pada 30 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Turut hadir sebagai panelis dalam acara hari ini ialah bekas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan peguam Adzly Abdul Manas.