Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Dhaka untuk mengekstradisi pengasas Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), Aminul Islam Abdul Nor ke Bangladesh.
Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak ada kemas kini terbaru berhubung isu berkenaan kecuali apa yang sudah dimaklumkan sebelum ini.
Apa yang ada, katanya, adalah permohonan agar individu terbabit ditahan sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.
"Berkenaan (permohonan) ekstradisi belum ada yang rasmi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama antara KDN dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengenai pengurusan pekerja asing kali ke-12 di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 10 Nov lalu Malaysiakini melaporkan polis Bangladesh meminta pihak berkuasa negara ini menahan Aminul Islam dan sekutunya, Ruhul Amin, untuk dihantar pulang ke negara itu.
Alasan Dhaka ialah, kedua-dua mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.
Bagaimanapun, Aminul Islam dan Bestinet menafikan dakwaan tersebut.
Aminul Islam merupakan pengasas dan pengerusi Bestinet yang menjadi syarikat pengendali Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan Putrajaya untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke negara ini.
Ada masa satu bulan
Dia berasal dari Bangladesh namun kini mendapat kerakyatan Malaysia. Dia juga tidak lagi menjadi pengerusi Bestinet walaupun masih memiliki pegangan dalam syarikat terbabit.
Ruhul Amin pula warga Bangladesh yang mengendalikan syarikat Catharsis International yang turut terlibat dalam pengurusan pekerja asing.
Sebelum ini, Saifuddin berkata Malaysia mahukan supaya Dhaka memberi penjelasan berhubung permohonan itu, sama ada tujuan ekstradisi atau bagi tujuan menjalankan siasatan lanjut.
"Dhaka kena jelas dulu apakah objektif (penahanan), sama ada tujuan merakam dan menjalankan siasatan.
"Kaedahnya ialah Dhaka kena gunakan saluran bantuan undang-undang bersama.
"Tapi, sekiranya Dhaka mahu nama-nama itu dituduh di mahkamah Bangladesh, maka Dhaka kena mohon ekstradisi," katanya.
Sementara itu Saifuddin berkata mesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk mengekalkan pembekuan pengambila pekerja asing sebelum ini.
Kata ahli Dewan Negara itu, sebelum ini keputusan pembekuan berkuat kuasa sehingga 30 Sept lalu namun keadaan semasa menunjukkan kadar defisit pekerja asing setakat 45,000 saja.
"Hari ini kerajaan ambil maklum bahawa siling 15 peratus daripada 17.2 juta tenaga kerja di negara membenarkan 2.58 juta pekerja asing boleh bekerja di negara kita.
"Buat masa sekarang defisit angka 2.58 juta pekerja asing itu adalah cuma 45,000 sahaja, dan kerajaan ada satu bulan sahaja untuk membuat kajian semula.
"Oleh kerana, kerajaanmembuat ketetapan bahawa keputusan untuk mengekalkan pembekuan sehingga ada keputusan lain diambil pada mesyuarat akan datang," katanya.