mk-logo
Berita
Sindiket A to B: ‘Cukup-cukuplah lindung sindiket perhambaan moden’

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa “perhambaan moden” melibatkan pekerja asing di Malaysia perlu dibanteras, susulan laporan Malaysiakini berhubung penyalahgunaan kuota pekerja asing.

Syed Saddiq berkata ini kerana rangkaian sindiket terbabit jelas menjejaskan maruah negara selain melibatkan nyawa golongan yang paling terdedah pada risiko

Justeru, dia menggesa polis dan SPRM untuk segera menyiasat perkara itu dan membuat tangkapan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Tahniah kepada Malaysiakini yang berani mendedahkan rangkaian penghambaan moden melalui kecekapan kewartawanan penyiasatan pasukannya.

“Cukup-cukuplah melindungi rangkaian penghambaan moden di Malaysia. Ini melibatkan maruah negara kita,” katanya kepada Malaysiakini di Parlimen, hari ini.

Hari ini, Malaysiakini menerbitkan laporan eksklusif berhubung sindiket yang dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan memonopoli urusan membekalkan pekerja asing.

sindiket "A ke B" mengeksploitasi sistem pengambilan pekerja kerajaan dengan mendapatkan kuota pekerja migran yang berlebihan, kemudian menjual atau menyewanya kepada industri lain untuk mendapatkan keuntungan.


Baca: Pekerja asing: 'Majikan' kaut jutaan ringgit menerusi sindiket ‘A to B’


Malaysiakini difahamkan sindiket itu berkembang pesat sejak 1996 dan sukar dibendung ekoran ada penguat kuasa awam yang bersekongkol.

Semakan juga mendapati sindiket itu turut mengaut keuntungan tahunan sekurang-kurangnya ratusan ribu ringgit dengan proses pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau menjual kuota pekerja.

Sementara itu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Syed Saddiq sekali lagi mendesak agar pihak berkuasa bertindak segera berhubung pendedahan berkenaan perkara itu.

“Saya desak Kementerian Dalam Negeri tangkap sindiket A, sindiket B dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dari atas sampai bawah. 

“Hancurkan rangkaian ini dan jangan membenarkan rangkaian perhambaan moden wujud di sini. Jangan takut kepada mereka,” katanya.

Katanya lagi, amalan “menjual” dan “menyewa” pekerja asing ini juga antara punca utama kenaikan harga barang, memandangkan ia meningkatkan kos syarikat yang benar-benar memerlukan pekerja tersebut.

“Pada akhirnya, syarikat-syarikat yang perlukan pekerja asing ini perlu membayar wang pendahuluan…dan bila harga barang naik rakyat juga terjejas,” katanya.

“Pekerja asing pula tergadai maruah mereka, dilayan seperti hamba kerana ada pihak yang untung atas angin kerana penipuan dan kabel politik yang masih bermaharajalela sampai ke hari ini,” dakwanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS