Politik Sabah menjadi jaringan gabungan politik yang rumit selepas PRU15.
Walaupun PH dilihat akan menjadi faktor penentu yang akan mengubah bentuk jaringan ini dalam PRN akan datang, perhatian kian tertumpu ke arah persoalan jika skandal rasuah yang mengaitkan gabungan pemerintah negeri itu akan memberi kesan kepada kerjasama politik di masa akan datang.
Untuk memahami kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku, kita perlu melihat secara ringkas bagaimana penjajaran politik pada masa ini di Sabah terbentuk.
Walaupun Sabah ada sejarah politik yang kaya, sebahagian besar daripadanya – dari 1986 hingga 2018 – adalah dengan BN sebagai kerajaan.
Tempat itu digantikan dengan Warisan pada 2018 dengan PH sebagai sekutunya.
Namun, pemain politik utama di Sabah sekarang ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mentadbir negeri itu sejak tahun 2020.
Pada 2020, GRS terdiri daripada BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
PN di Sabah pula terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Bagaimanapun, penjajaran politik di Sabah menjadi semakin rumit selepas PRU15 pada 2022.
Ketua Menteri Hajiji Noor menyokong Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan kemudian mengetuai penghijrahan keluar daripada Bersatu untuk membentuk parti baru, Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan).
Langkah itu disusuli Star dan SAPP walaupun SAPP masih kekal sebagai komponen dalam PN.
Penjajaran baru
Pertelingkahan dalam kerajaan Hajiji pada awal 2023 membawa kepada penjajaran semula di peringkat negeri, yang menyaksikan BN berpecah kepada dua kumpulan.
Mereka yang berpihak kepada Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin disingkirkan daripada kerajaan negeri dan keluar dari GRS, manakala lima orang yang memberontak menyokong Hajiji untuk dia terus kekal sebagai ketua menteri.
Penjajaran baru di peringkat persekutuan dan negeri menjadikan PH sebagai penentu utama di Sabah.
Dengan PRN yang semakin hampir, BN dan GRS masing-masing menyatakan hasrat untuk membentuk kerjasama dengan PH, tetapi tidak dengan satu sama lain.
Bagi kedua-dua gabungan, memiliki PH sebagai rakan kongsi bermakna mendapat sokongan politik dan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Namun begitu, PH kekal tidak menunjukkan sama ada akan memilih BN atau GRS sebagai rakan gabungan.
Namun, skandal rasuah yang disertakan bukti daripada pemberi maklumat boleh mengubah keadaan itu.
Semua yang dikaitkan dalam skandal itu - yang melibatkan rasuah berkaitan projek perlombongan mineral - berpihak kepada Hajiji dan GRS.
Hajiji sendiri dituduh menyalahgunakan kuasa dalam pemilihan pemberian lesen perlombongan(PL). Dia menafikan dakwaan itu.
Walaupun petikan video yang didedahkan setakat ini belum membuktikan rasuah benar-benar berlaku, namun pemberi maklumat mendakwa versi penuh rakaman tersebut pula berbeza.
Jika skandal ini dan kesannya terhadap kerajaan Hajiji mencapai kemuncak , PH - yang berpegang kepada prinsip memerangi rasuah - mungkin terpaksa meninggalkan GRS sebagai sekutu dalam PRN akan datang dan hanya berkerjasama dengan BN.
Jika senario ini berlaku, GRS ada kemungkinan untuk kembali bersama PN manakala Warisan dijangka kekal bergerak sendirian.
BN pula didakwa menjadi dalang di sebalik skandal yang didedahkan pemberi maklumat ini, dakwaan yang dinafikan oleh gabungan itu.
Pada masa sama, imej BN Sabah juga tercalar selepas pembebasan Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, dalam kes rasuah RM2.8 juta dibatalkan mahkamah dan mereka diarahkan untuk membela diri.
PH tak perlu terburu-buru
Satu lagi kemungkinan yang boleh berlaku berkaitan PRN Sabah adalah PH tidak membuat sebarang keputusan, selain mengelak bertembung dengan BN dan GRS.
Ini memberikan keanjalan kepada PH untuk hanya membuat keputusan untuk menyokong pihak mana bagi membentuk kerajaan negeri, sebaik selepas PRN berakhir.
Ini memberi Harapan fleksibiliti untuk hanya membuat keputusan mengenai pihak mana yang akan disokong untuk membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya selesai.
Di peringkat persekutuan, kesan yang dijangka berlaku jika PH meninggalkan GRS adalah kecil.
Anwar ada majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat,. GRS dan komponennya, iaitu Star dan SAPP, hanya menyumbang enam ahli Parlimen.
Sebarang kehilangan sokongan daripada GRS ditampung oleh sokongan enam bekas ahli parlimen Bersatu yang kini menyokong kerajaan.
PRN Sabah perlu diadakan selewat-lewatnya pada 9 Disember 2025, walaupun spekulasi menyatakan Hajiji mungkin membubarkan DUN lebih awal.