Susulan pendedahan Malaysiakini mengenai bagaimana kuota pekerja asing disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab, PSM mengkritik kerajaan kerana tidak serius menangani isu tersebut.
"Memualkan tetapi tidak mengejutkan. Perkara ini telah dibangkitkan berulang kali, sama ada apabila terdapat penyalahgunaan atau pendedahan, tetapi nampaknya tiada kesungguhan untuk menyelesaikan masalah ini," kata Timbalan Pengerusinya, S Arutchelvan pada kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Malaysiakini mendedahkan kewujudan sindiket yang menyalahgunakan kuota pekerja migran untuk mengaut keuntungan.
BACA BERKAITAN:
Pekerja asing: 'Majikan' kaut jutaan ringgit menerusi sindiket ‘A to B’
Dalam skim ini, sindiket "A ke B" mengeksploitasi sistem pengambilan pekerja kerajaan dengan mendapatkan kuota pekerja migran yang berlebihan, kemudian menjual atau menyewanya kepada industri lain untuk mendapatkan keuntungan.
Pegawai kerajaan yang korup juga didakwa terlibat dalam sindiket ini, tetapi mereka yang ditangkap biasanya hanya dipindahkan ke tempat lain.
Bukan menteri tak tahu
Arutchelvan berkata pada 2018 siasatan bebas yang diarahkan oleh kerajaan PH mendedahkan korupsi sistemik, aktiviti mencari keuntungan, penyalahgunaan kuasa dan layanan buruk terhadap pekerja asing di negara ini.
Dia juga berkata Gabungan Menuntut Hak Pembelaan untuk Pekerja Migran, dengan PSM merupakan salah satu ahlinya telah menjalankan sesi meja bulat dan menyediakan cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.
"Cadangan ini telah disampaikan kepada semua menteri sumber manusia – baik yang sekarang mahupun yang terdahulu.
"Salah satu cadangan utama, (memperuntukkan) hanya satu kementerian atau jabatan terlibat dalam pengambilan dan pengurusan pekerja migran.
"Tetapi memandangkan ini perniagaan menguntungkan, nampaknya tiada kehendak politik daripada kerajaan sekarang atau sebelumnya untuk menyeragamkan perkara ini," katanya.
Pendedahan Malaysiakini
Arutchelvan menegaskan laporan terbaru Malaysiakini menunjukkan tiga perkara penting – ia melibatkan orang dalam, pihak yang mempunyai hubungan dengan agensi dan jabatan kerajaan berkaitan, serta seolah-olah mendapat perlindungan tertentu.
"Melihat bagaimana SPRM berselindung di sebalik alasan birokrasi seperti dalam kes video Sabah baru-baru ini, timbul persoalan bagaimana kita hendak memerangi korupsi apabila ia sudah berakar dalam sistem pentadbiran," tambah Arutchelvan.
Pemimpin PSM ini merujuk kes pendedah maklumat yang sejak 9 November lalu telah membocorkan klip video wakil rakyat Sabah, yang didakwa menerima rasuah daripadanya untuk menyokong permohonan lesen eksplorasi perlombongan.
Pendedah maklumat itu berjanji untuk menyerahkan semua rakaman, dokumen, butiran perbankan dan tangkapan layar mesej WhatsApp kepada SPRM sekiranya diberi imuniti dan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki (gambar atas) menegaskan agensi itu tidak dapat memberikan jaminan bertulis terhadap imuniti daripada pendakwaan.
“Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, seperti ditakrif undang-undang, sebelum proses perlindungan dapat dimulakan.
“SPRM tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis, yang bermakna individu itu tidak akan disiasat atau didakwa, tanpa maklumat terperinci berkenaan perlakuan salah tersebut.
“Justeru, untuk SPRM menawarkan perlindungan di bawah undang-undang kepada individu itu (sebelum laporan dibuat) adalah tindakan pramatang,” kata Azam kepada Malaysiakini.