Seorang ahli parlimen kerajaan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Luar duduk berbincang menyelesaikan isu melibatkan pekerja asing di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata perbincangan tersebut juga perlu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata ahli politik dari PKR itu, isu pekerja asing yang dibangkitkan Malaysiakini hari ini biasanya melibatkan perhambaan moden serta wujud unsur pemerdagangan orang.
“Ketika ini apa yang berlaku ialah sudah sekian lama wujud sindiket pekerja asing yang mengaut keuntungan besar hasil bekerjasama dengan golongan yang mengaku majikan.
"Mereka berpakat pula dengan sebahagian penjawat awam yang curang sehingga membawa kepada penindasan ke atas pekerja asing.
“Di dalam skandal ini apa yang berlaku ialah kuota pekerja asing dijual mahal manakala pekerja asing jadi seperti hamba apabila diberi gaji yang rendah.
“Skandal ini memperlihatkan penyelewengan apabila kelulusan kuota pekerja asing diperolehi bukan atas merit tetapi melalui hubungan politik atau melibatkan dokumen palsu,” katanya kepada Malaysiakini.
Hassan berkata demikian selepas diminta mengulas laporan eksklusif Malaysiakini yang mendedahkan sindiket melibatkan pekerja asing di negara ini.
Kegiatan itu dikatakan membawa keuntungan bernilai sehingga jutaan ringgit yang dikaut majikan tertentu yang memonopoli urusan membekalkan pekerja warga asing.
Pihak terbabit memperoleh kebenaran membawa masuk warga asing yang kemudian 'dijual' atau 'disewakan' kepada pihak lain yang sanggup mengeluarkan wang.
Malaysiakini difahamkan bahawa sindiket itu berkembang pesat sejak 1996 dan tidak dapat dibendung kerana mereka dibantu oleh penguatkuasa awam yang bersekongkol.
Walaupun ada penjawat awam yang ditangkap, biasanya ia hanya melibatkan pegawai peringkat rendah. Hukuman yang dikenakan pula dikatakan ringan seperti dipindahkan ke tempat lain.
Semakan Malaysiakini juga mendapati 'majikan' terbabit mengaut keuntungan tahunan sekurang-kurangnya beratus ribu ringgit dengan proses pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau menjual kuota pekerja.
Kata Hassan, kerajaan wajar mengkaji semula undang-undang yang melibatkan pengambilan pekerja asing ke dalam negara.
Antara aspek yang perlu diberi penekanan, katanya, ialah menambah atau meningkatkan kadar hukuman ke atas pesalah yang disabitkan agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain.