Seramai 6,646 pegawai kanan dan rendah dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak 2020 hingga Sept lalu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Katanya antara hukuman dikenakan ialah buang kerja yang melibatkan 613 individu, turun pangkat (120), turun gaji (68), lucut hak emolumen (641) dan tangguh pergerakan gaji (152).
Kesalahan yang dilakukan pula, katanya, merangkumi aspek integriti, jenayah, rasuah, dadah dan syariah.
"Kalau ada maklumat penglibatan polis sama ada anggota atau pegawai berkenaan salah laku di mana pun boleh berhubung dan salurkan maklumat kepada saya.
"Saya akan susulkan dengan tindakan dan pastikan identiti anda (pemberi maklumat) dilindungi," katanya ketika menyampaikan ceramah Pembudayaan Integriti Dalam Kalangan Penjawat Awam sempena sambutan Hari Integriti peringkat Majlis Bandaraya Kuantan di Kuantan hari ini.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita Ayob Khan berkata dalam memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Sang Saka Biru itu, tindakan tegas harus diambil terhadap polis yang terlibat dalam kegiatan salah laku tanpa mengira pangkat.
Menurutnya jika langkah berkenaan gagal dilaksanakan, kepercayaan masyarakat dan rasa hormat terhadap polis akan terhakis.
"Sebab itu selalu saya tekankan, kita ambil tindakan jangan kira pangkat dan kedudukan… sebagai pemimpin pula jangan hanya nak popular dan takut nak ambil tindakan," katanya.
- Bernama