Ekoran keputusan pihak berkuasa Malaysia akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand menggusarkan penduduk setempat, khususnya apabila melibatkan bidang pendidikan.
Ramai rakyat Thailand dan Malaysia di Sungai Golok bimbang jika anak-anak mereka tidak lagi dapat bersekolah di kawasan Rantau Panjang dan memberi kesan kepada masa depan mereka.
Sehubungan itu, penduduk terbabit berharap Malaysia dapat mempertimbangkan kelonggaran buat anak-anak yang bersekolah di sekitar Rantau Panjang untuk merentasi sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok.
Rakyat Malaysia yang menetap di Sungai Golok sejak puluhan tahun lalu, Ishak Ghazali, 61, berkata sudah tiga generasi keluarganya bersekolah di Rantau Panjang.
"Saya rakyat Malaysia. Apabila polis umumkan untuk menahan rakyat Malaysia yang menggunakan pangkalan haram mulai 1 Dis ini, ia sedikit menggusarkan saya kerana ramai anak penduduk di sini menggunakan laluan itu untuk ke sekolah di Rantau Panjang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sungai Golok hari ini.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata polis akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan bermula 1 Dis ini.
Ishak berharap Polis Diraja Malaysia memberikan sedikit kelonggaran untuk pelajar sekolah menggunakan laluan biasa kerana ia merupakan laluan terdekat.
"Jika pihak berkuasa meminta pelajar sekolah menggunakan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, ia agak sukar kerana tidak semua penduduk mempunyai kenderaan terutamanya yang menetap jauh dari kompleks itu," katanya.
Harap mudahkan urusan
Tinjauan Bernama hari ini mendapati pelajar sekolah rendah dan menengah mula menaiki perahu dari Sungai Golok untuk ke Rantau Panjang bagi memulakan sesi persekolahan pagi sekitar jam 6.45 pagi (waktu Thailand).
Pelajar sekolah dikenakan tambang RM1 untuk perkhidmatan menaiki perahu ke Rantau Panjang dan ia adalah kebiasaan bagi penduduk di kawasan berkenaan sejak sekian lama.
Perkhidmatan penghantaran pelajar sekolah menggunakan perahu dijalankan dua kali sehari iaitu bermula jam 6.30 pagi (waktu Thailand) dan 2 petang (waktu Malaysia).
Senada dengan Ishak ialah Abdullah Abu Bakar, 64, yang berkata pergerakan rentas sempadan seperti itu telah menjadi kebiasaan buat masyarakat di Sungai Golok.
"Saya tak ada masalah dalam hal ini, cuma nak minta pihak berkuasa Malaysia memberikan kelonggaran kepada pelajar-pelajar sekolah untuk merentasi Sungai Golok.
"Sebelum ini, mereka (pelajar sekolah) menggunakan laluan kompleks ICQS untuk ke sekolah dengan pas sempadan yang dicap sebulan sekali bagi keluar masuk Malaysia-Thailand tetapi ia tidak dilaksanakan lagi," katanya.
Abdullah berharap agar pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan kembali penggunaan pas sempadan untuk pelajar sekolah yang dicap sebulan sekali.
"Ada juga rakyat Malaysia yang menetap di Sungai Golok kerana berkahwin dengan orang tempatan dan anak mereka bersekolah di Rantau Panjang.
"Saya berharap pihak Kerajaan Thailand dan Malaysia mempermudahkan urusan persekolahan anak-anak kami kerana kami tidak mahu anak-anak kami tercicir dalam pendidikan," kata lelaki warga Thailand yang berkahwin dengan rakyat Malaysia itu.
- Bernama