PARLIMEN | Menteri Sumber Manusia Steven Sim menolak dakwaan kadar pekerja berpendidikan tinggi yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan kemahiran rendah meningkat sebanyak 100,000 orang di Malaysia pada suku tahun ketiga (S3) 2024.
Menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), Sim berkata peningkatan kadar pekerja berpendidikan tinggi dalam dua kategori ini adalah 10,000 pekerja sahaja pada suku ketiga 2024 jika dibandingkan suku tahun yang sama pada 2023.
"Pernyataan YB Alor Setar bahawa guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah sebanyak 1.95 juta orang, meningkat sebanyak 100,000 orang berbanding 1.94 juta orang pada suku tahun sebelumnya adalah kurang tepat.
"Kadar guna tenaga tidak penuh ini pada suku tahun ketiga 2024 ialah 36.8 peratus. Ini merupakan penambahbaikan berbanding 37.3 peratus pada suku tahun ketiga 2023," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Sim kerajaan sentiasa cakna dan proaktif untuk menangani masalah guna tenaga tidak penuh terutamanya kepada pekerja tempatan.
Berdasarkan laporan Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga tidak penuh (underemployment) merujuk keadaan seseorang yang mempunyai kelayakan tertiari (pendidikan selepas SPM) seperti diploma dan ijazah sarjana muda tetapi tidak bekerja sebagai buruh mahir, sebaliknya mereka bekerja di buruh separuh mahir atau tidak mahir.
Walaupun lebih baik daripada menganggur, kebanyakan guna tenaga tidak penuh tidak menerima pendapatan setimpal dan tidak selaras dengan tahap pendidikan mereka.
DOSM awal bulan ini mendedahkan kira-kira 1.95 juta pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah setakat suku ketiga 2024.
Ini sekali gus menunjukkan peningkatan kecil sebanyak kira-kira 100,000 pekerja berbanding suku sebelumnya.
Kumpulan yang bekerja tidak setaraf dengan kelayakan ini mewakili 36.8 peratus daripada jumlah pekerja berpendidikan tinggi, kata DOSM.
Sementara itu, Steven berkata Kesuma sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pelbagai universiti untuk melanjutkan tempoh latihan amali bagi mahasiswa.
Katanya, ia kaedah atau strategi yang penting untuk memperkasakan kemahiran mahasiswa, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang pekerjaan.
"Contohnya yang menjadi peguam chambering mungkin sembilan bulan dan ketika chambering itulah mereka belajar on the job, on the go and by practice secara latihan amali dan bukan secara teori manakala doktor mungkin buat housemanship selama setahun atau dua tahun.
"Jadi semua ini akan memperkasakan lagi kemahiran yang ada pada mahasiswa kita.
"Mengikut data yang kita ada, kira-kira 40 peratus pelatih amali atau intern akhirnya berjaya mendapat kerja di syarikat yang sama di tempat mereka melaksanakan latihan amali," katanya.
Dia menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai kerjasama Kesuma dan KPT dalam melahirkan graduan lebih berkualiti.