PARLIMEN l Lebih 85 peratus proses pemeriksaan dan pelepasan imigresen bagi ketibaan pengembara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diselesaikan dalam tempoh kurang 25 minit.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan laporan prestasi sistem Smart Q berasaskan teknologi kebendaan (IoT) dan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QOS), proses ketibaan di lapangan terbang negara mencapai sasaran tempoh menunggu yang pendek.
Bagaimanapun beliau menjelaskan terdapat insiden kesesakan di kaunter imigresen KLIA yang berlaku disebabkan perubahan jadual ketibaan pesawat termasuk ketibaan penerbangan secara serentak.
“Dalam sebulan akan berlaku lima atau enam hari, di mana ketibaan pesawat itu lari daripada jadual, jadi selang dua hingga tiga minit yang menyebabkan tempoh untuk kita melakukan pelepasan imigresen mengambil sehingga 49 minit sedangkan sasaran kita kurang 25 minit.
“Jadi dalam sebulan itu ada lima hingga enam insiden, kita akui dan kita tak nafikan. Tapi 25 hari berikutnya itu, tempoh pelepasan itu ialah 85 peratus daripada penumpang kita selesaikan dalam tempoh kurang daripada 25 minit,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai inisiatif dan langkah yang telah dan akan dilaksanakan bagi menangani kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar (ICQ BSI) dan KLIA.
Saifuddin berkata bagi melancarkan proses imigresen di KLIA Terminal 1 dan 2, kemudahan 10 pagar automatik (autogate) dan kaunter manual di kedua-dua terminal dibuka sepenuhnya pada waktu puncak bermula 11 pagi hingga 9 malam.
“Penggunaan pagar autogate sebelum ini dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja, tetapi kerana ketibaan pelancong juga besar, jadi kita buat keputusan untuk buka penggunaan autogate itu kepada 63 negara.
“Kesemua kaunter (imigresen) di KLIA Terminal 1, iaitu 60 kaunter manual dan 10 autogate, manakala di KLIA Terminal 2, sebanyak 38 kaunter manual dan 10 autogate kita buka pada waktu puncak supaya tak ada kesulitan di peringkat pengembara, sama ada rakyat kita ataupun rakyat luar,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin memaklumkan proses perolehan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi mod pengangkutan bas dan motosikal di ICQ BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor dibuat dalam tahun kewangan ini dengan peruntukan RM20 juta sebagai usaha mengurangkan kesesakan.
Menjawab soalan tambahan Yuneswaran mengenai langkah mitigasi gangguan sistem pada teknologi pengecaman wajah di pagar automatik atau kaunter dan sistem kod QR, Saifuddin Nasution berkata usaha yang dilakukan termasuk memastikan bekalan kuasa sentiasa cukup dengan memasang sistem bekalan kuasa tanpa gangguan.
Selain itu, katanya keupayaan server turut ditingkatkan di samping sokongan teknikal juga perlu diperkukuh dan sentiasa bersedia sekiranya berlaku gangguan sistem.
Beliau berkata penggunaan pagar automatik di pintu masuk utama negara itu juga tidak menggugat aspek keselamatan.
- Bernama