Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan telah menarik diri daripada mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengembalikan semula saman pendakwaan salah terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Hakim Faizah Jamaludin bersetuju menarik diri hari ini selepas peguam perayu, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mengemukakan permohonan lisan untuk penarikan diri.

Pada Oktober tahun lalu, rayuan Najib ditangguhkan apabila hakim panel rayuan Azizah Nawawi, mendedahkan suaminya pernah bertugas sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Thomas dan dia memutuskan untuk menarik diri.

Pada permulaan prosiding rayuan hari ini, Firoz memberitahu panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hashim Hamzah bahawa Faizah wajar menarik diri.

Firoz menjelaskan ini kerana suami Faizah, Mohammad Faiz Azmi merupakan pengerusi jawatankuasa eksekutif 1MDB, yang ditubuhkan pada 2018 sebagai sebahagian daripada perkhidmatan yang disediakan oleh PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) kepada dana kekayaan berdaulat Malaysia itu.

Katanya, suami Faizah terlibat dalam membantu 1MDB memulihkan asetnya dan menguruskan hutangnya.

Dalam saman pendakwaan salah terhadap bekas perdana menteri itu, Najib mendakwa Thomas bertindak jahat dengan meluluskan kes mahkamah jenayah berkaitan RM2.27 bilion dana 1MDB yang sedang berjalan terhadap dirinya.

“Oleh kerana perkara ini melibatkan pelbagai isu berkaitan 1MDB, saya terpaksa mengemukakan permohonan ini.

Bekas AG Tommy Thomas.

“Ini bukan untuk mencemarkan integriti atau kebebasan Faizah, yang saya kenali selama bertahun-tahun,” kata Firoz kepada panel rayuan, yang turut dianggotai hakim Azmi Ariffin.

Firoz berkata lebih baik untuk Faizah menarik diri kerana dia bersama peguam Thomas, Alan Adrian Gomez, pernah bekerja di firma guaman yang sama yang diketuai oleh Thomas pada tahun 1990an.

Gomez kini rakan kongsi di firma guaman Tommy Thomas, manakala Firoz telah membuka firma guamannya sendiri, dan Faizah, bekas peguam, telah dilantik ke badan kehakiman.

Sebagai tindak balas, Gomez berkata dia tidak melihat kaitan antara penglibatan suami Faizah dalam pemulihan aset 1MDB dengan kesaksamaan mendengar rayuan tersebut.

“Namun, saya sedar keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi dilihat dilaksanakan, jadi saya serahkan kepada Yang Arif sama ada beliau patut menarik diri,” kata Gomez.

Firoz kemudian berhujah penarikan diri perlu dibuat untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.

Faizah bersetuju menarik diri atas kepentingan keadilan, menjelaskan suaminya telah bersara daripada jawatankuasa eksekutif tersebut tahun lalu.

Hakim Hashim kemudian menetapkan 3 Disember untuk pengurusan kes rayuan Najib manakala Firoz menyatakan mereka akan meneliti senarai hakim rayuan untuk memilih panel yang sesuai bagi mendengar rayuan itu.

Pada 25 November 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Bache membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan keseluruhan tindakan sivil Najib tanpa perlu melalui perbicaraan penuh kerana tuntutan itu "dipenuhi isu politik yang tidak berkaitan."

Mahkamah tinggi memutuskan tindakan sivil itu juga kekurangan butiran tentang pembabitan bekas Peguam Negara dalam pendakwaan salah.

Saman Najib tertumpu kepada dakwaan pendakwaan salah oleh Thomas dalam empat kes jenayah.

Tiga kes masih berjalan: kes rasuah RM2.27 bilion 1MDB, kes pecah amanah jenayah (CBT) RM6.6 bilion dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan kes pengubahan wang haram RM27 juta SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan pembebasan penuh kepada Najib untuk kes keempat mengenai kes audit 1MDB.

Bagaimanapun, tuntutan sivil itu tidak melibatkan kes rasuah RM42 juta SRC International (kes jenayah berasingan daripada kes pengubahan wang haram RM27 juta SRC), dengan Najib telah disabitkan bersalah, dihukum penjara enam tahun dan didenda RM50 juta.

Najib pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, tetapi hukuman itu dikurangkan selepas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Yudistra Darma Dorai dan Mervyn Lai turut hadir bagi pihak Najib dan Thomas dalam prosiding rayuan hari ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS