mk-logo
Berita
Anwar jangan selindung di balik kematian Daim - Na'imah
Diterbitkan:  Nov 19, 2024 12:11 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menuntut Peguam Negara (AG) meneruskan kes mahkamah jenayah berkaitan pendedahan aset terhadap arwah suaminya.

Na'imah Abdul Khalid hari ini menyatakan hasrat agar kes tersebut diteruskan di mahkamah bagi membersihkan nama allahyarham.

"Saya bagi pihak Allahyarham, ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat beliau supaya perbicaraan terhadapnya diteruskan di mahkamah sehingga tamat.

"Walau apapun terjadi kepadanya, Daim mendambakan harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah.

"Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun ketua SPRM untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim. Malah kami tidak mahu memohonnya.

"Kami tidak akan membenarkan Anwar Ibrahim cuba berselindung di sebalik kematian Daim untuk mengelak mengambil tanggungjawab di atas fitnah yang dilontarkannya berulang-ulang terhadap Allahyarham secara terbuka.

"Pembebasan Daim kelak akan membuktikan pengkhianatan dan pembohongan Anwar,” kata Na’imah pada satu kenyataan media.

"Sejak awal siasatan SPRM kira-kira lebih setahun setengah lalu, kami secara konsisten mengatakan pertuduhan ini remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik terhadap Allahyarham.

"Bahawa ia tidak berasas adalah jelas daripada fakta bahawa bukan sahaja Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) yang mencetuskan siasatan mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dapat menyatakan sehingga hari ini apakah kesalahan yang kononnya dilakukan oleh Daim.

"Mereka tidak boleh menyatakan kesalahan, kerana tidak ada kesalahan sedemikian," katanya.

Daim, 86 dan Na'imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur awal tahun ini atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan aset mereka.

Kes Allahyarham dijadualkan untuk sebutan di mahkamah rendah esok.

Daim meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi Hospital Assunta, Petaling Jaya, akibat serangan angin ahmar.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga sahabat akrab Daim berkata dia kesal kerana sumbangan bekas menteri kewangan itu kepada negara tidak dihargai.

"Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan.

"Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab, tanpa sebab, kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam," kata Mahathir.

Sebelum ini, SPRM melancarkan siasatan terhadap Daim atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Kes jenayahnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melibatkan aset yang merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah serta dua akaun dana pelaburan.

Selain itu, SPRM dilaporkan turut menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi di Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh keluarga Daim.

Selain kes jenayah berkaitan pendedahan aset, Na'imah juga membawa kes ke mahkamah sivil untuk membatalkan penilaian pihak berkuasa bahawa dia berhutang lebih RM313 juta kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS