Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi dan Perak FC Tommy Mawat Bada digantung tiga perlawanan susulan pergaduhan ketika perlawanan di Iskandar Puteri, awal minggu lalu.
Kedua-dua pemain juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat jika mengulangi kesalahan sama.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Baljit Singh Sidhu berkata kedua-dua mereka Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play (dasar perlawanan adil).
Arif Aiman yang bersalah menumbuk muka Tommy digantung perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-25 menentang Kuala Lumpur Rovers FC (20 dan 30 Nov) serta perlawanan Liga Super 2024-25 menentang Kuala Lumpur City FC (8 Dis).
Tommy pula bersalah menanduk kepala dan mencengkam leher Arif Aiman.
Dia digantung perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-25 menentang Kelantan Darul Naim FC (22 dan 30 Nov) serta perlawanan Liga Super 2024-25 menentang Kedah Darul Aman FC (4 Dis 2024).
Kedua-dua pihak boleh merayu terhadap keputusan itu.
Arif Aiman dan Tommy bergaduh ketika aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.
Mutu pengadilan pengadil, Razlan Joffri Ali–yang hanya melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain–juga dipertikai kerana dianggap patut lebih tegas.
Malah pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail berpendapat pengadil sepatutnya memberi kad merah kepada kedua-dua pemain itu.