Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Nafas: Serah SPRM agar tiada pendakwaan terpilih - Mat Sabu

Kerajaan memberi keyakinan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas dakwaan salahguna kuasa dan penyelewengan melibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata ini bagi mengelak kerajaan daripada menyebelahi mana-mana pihak.

"Soal dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Nafas.... (kita tak nak sebut) kerana sekarang ini di peringkat siasatan SPRM.

"Kita tak nak menuduh kepada siapa-siapa sama ada bekas menteri, timbalan menteri atau menteri sekarang jangan tuduh menuduh. Yang penting kita minta SPRM siasat.

"Kita beri kerjasama dan laporan SPRM atau dakwaan mereka, kita harap tidak mengatakan ianya berlaku pendakwaan terpilih," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PH- Bayan Baru) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Sim (gambar atas) menggesa kerajaan mereformasikan Nafas dengan menjaga kepentingan pesawah dan petani bukan kepimpinan pertubuhan itu.

Pada 1 Nov, perlembagaan Nafas digantung bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin berkata selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, dia mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.

Menjawab soalan bila penggantungan Nafas akan ditarik balik, Mohamad berkata kementerian akan bertindak berdasarkan cadangan pihak pentadbir tatakelola.

"Ini penggantungan kali ketiga. Yang pertama di bawah Menteri Pertanian Anwar Ibrahim. Yang kedua Allaharyam Salahuddin Ayub. Yang ketiga di bawah menteri Mat Sabu.

"Kali ini pergantungan tempoh masa kita akan lihat cadangan daripada pihak (yang) menjadi (pentadbir) tatakelola ini.

"Akan selesai semua, baru angkat pergantungan dengan pindaan-pindaan di bawah kuasa menteri dan kuasa kementerian dengan dinaziri oleh penasihat undang-undang," katanya.

Nafas mempunyai 603,000 ahli, 280 Pertubuhan Peladang Kawasan dan 14 Pertubuhan Peladang Negeri di seluruh negara.

Kontroversi yang melanda Nafas baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan dengan tadbir urus serta keberkesanannya sebagai pembekal tunggal baja kerajaan.

Nafas telah diberikan kontrak pembekalan baja secara runding terus sejak tahun 1979.

Menurut menteri, Nafas mempunyai 16 syarikat subsidiari dengan hanya empat syarikat subsidiari berkaitan kontrak baja sahaja yang mencatatkan keuntungan.

Katanya, ini menjejaskan peranan Nafas untuk berfungsi sebagai pertubuhan yang memajukan kepentingan ekonomi dan sosial atau kebajikan anggotanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS