WAWANCARA | PN tetap akan menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri mereka pada PRU akan datang - yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2027.
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata perkara itu disepakati semua parti gabungan dalam PN sebelum ini dan pendirian tersebut dikekalkan.
Katanya, Muhyiddin merupakan pengerusi gabungan itu justeru tidak timbul isu ada nama lain perlu ditonjolkan dan ditawarkan kepada para pengundi.
"Setakat ini saya tak nampak ada berpakat nak namakan orang lain.
“Saya tak tahulah kalau ada (calon lain nak jadi perdana menteri) atau kalau ada cerita-cerita di belakang, saya tak nampak,” katanya dalam temubual bersama Malaysiakini pada Selasa di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perkara tersebut ditegaskan Ahmad Faizal ketika mengulas siapa calon PN yang akan dinamakan sebagai perdana menteri untuk pilihan raya umum akan datang.
Pada masa sama, bekas Menteri Besar Perak itu juga berpendapat jika ada pihak atau nama lain mahu ditonjolkan menjadi perdana menteri, lebih baik niat tersebut dimatikan saja.
“Saya fikir kalau ada pun cita-cita itu patut dipadamkanlah.
"Setakat ini saya nampak orang bagi sokongan kuat dekat kawan itu (Muhyiddin), yang awak pula nak nak kurangkan sokongan buat apa? Buat rugi pada parti kita saja,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Sementara itu, mengulas kerjasama Bersatu dengan PAS, Ahmad Faizal berkata dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi harus dia menjelaskan bahawa hubungan mereka adalah begitu baik.
Dalam kerajaan cuma lakonan
Mengakui ada pihak yang enggan percaya, dia menambah, sepanjang ingatannya tidak pernah ada perbalahan tersebut semasa kedua-dua parti bermesyuarat.
Malah kata ahli politik yang sering disapa sebagai Peja itu, insiden meninggikan suara juga tidak pernah berlaku.
“Apa juga hal yang kami bincangkan, ia akan dibuat secara terbuka dan keputusan diambil melalui konsensus.
"Dalam hubungan (peribadi) pula, saya anggap Tan Sri Abdul Hadi Awang ni - walaupun dia Presiden PAS dan saya Bersatu - saya dah anggap dia sebagai pemimpin saya.
“Rakan-rakan lain juga saya lihat, macam (Setiausaha Agung PAS) Datuk Seri Takiyuddin Hassan ataupun rakan-rakan lain, mereka melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin mereka.
"Jadi saya nampak hubungan dalam parti dan hubungan secara peribadi kami cukup baik, tapi orang selalu tanya soalan ni... macam mereka suka kalau kami bergaduh,” katanya.
Dia yang pernah menjadi menteri belia dan sukan selama kira-kira 14 bulan dalam kerajaan PN menegaskan, pihak yang tidak gembira dengan hubungan mesra PAS - Bersatu adalah parti lawan.
Bahkan, dakwa Ahmad Faizal, dalam kerajaan perpaduan sendiri ahli dan pemimpin mereka tidak sehaluan antara satu sama lain.
“Yang bergaduh ini sebenarnya ialah orang Umno yang tak suka sangat orang PKR. Orang PKR pula tak suka sangat dengan orang Amanah. Orang Amanah pula cukup tak suka pada orang DAP.
"Kalau kamu lihat keadaan di peringkat akar umbi, kalau duduk dengan orang Umno, itulah cerita mereka. Duduk dengan orang Amanah pun cerita benda yang sama juga,” katanya.
Justeru, menurut Ahmad Faizal, dakwaan bahawa wujud kerajaan perpaduan itu tidak lebih daripada sekadar lakonan saja.
Yang susah dapat kerusi
Sebaliknya dalam PN, katanya, persefahaman mereka adalah tulen dan rakyat tidak perlu sangsi kerana parti itu sentiasa meletakkan kepentingan orang ramai sebagai keutamaan.
"Kami dah ada seorang timbalan presiden yang sedia melepaskan jawatan tapi parti lain ada?katanya.
Ditanya apakah kerjasama PAS - Bersatu akan berterusan sehingga PRU akan datang, Ahmad Faizal menyatakan keyakinannya, malah percaya ada nama besar lain yang akan menyertai PN.
Mereka, dakwanya, terdiri daripada kalangan pemimpin di peringkat negeri hingga ke akar umbi.
“Itu saya amat-amat yakin akan berlaku,” katanya.
Keyakinan itu ditunjukkan Ahmad Faizal berdasarkan apa yang didakwanya dilakukan oleh kerajaan sekarang.
Menganggap mereka itu sebagai "orang baik-baik" dia berkata kerajaan semasa gagal melaksanakan apa-apa dasar yang mengutamakan rakyat.
Diminta mendedahkan siapakah individu yang dimaksudkannya bakal menyertai PN, Ahmad Faizal berkata, mereka adalah tokoh yang tidak digemari pemimpin kerajaan.
“Mereka ini dalam kalangan yang tidak ada nama, pemimpin-pemimpin yang tidak digemari oleh presiden mereka.
"Sebagai contoh, (mereka adalah) yang saya jangka susah untuk mendapat kerusi dalam PRU akan datang.
“Jadi, mereka nak pergi mana?" katanya sambil menambah, individu terbabit akan diterima selagi menerima prinsip perjuangan PN serta menolak rasuah.