Paling Popular
Terkini

Luar bandar dan pedalaman Sabah cukup indah dengan gunung-ganang berdiri megah, hutan belantara serta pelbagai spesies haiwan liar melata, cukup sesuai untuk mereka yang mahu berkelana, jauh daripada hiruk-pikuk kota raya.

Namun di sebalik keindahan terbentang di depan mata, ada realiti yang jarang dipaparkan, kehidupan masyarakat di kampung-kampung terpencil luar bandar dan pedalaman Sabah, yang masih dicengkam kemiskinan kental yang sukar untuk dinoktahkan.

Mereka ini bangkit setiap pagi dengan beban berat, mencuba semampu mungkin tanpa kenal erti putus asa untuk bertahan, hidup dalam keadaan yang mungkin tidak terbayangkan oleh sesetengah mereka yang tinggal di bandar besar Kota Kinabalu atau di Semenanjung.

Itu adalah secebis daripada pengamatan penulis yang sudah lebih empat tahun ditugaskan di Negeri di Bawah Bayu ini, iaitu isu kemiskinan yang masih membelenggu serta membelit kehidupan, boleh dikatakan, sebahagian besar penduduk luar bandar dan pedalaman.

Daerah termiskin

Menurut data Kementerian Ekonomi, lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah dengan Tongod menjadi daerah yang merekodkan kadar insiden kemiskinan tegar paling tinggi iaitu sebanyak 5.9 peratus. Ini diikuti Beluran (5 peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4 peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau (2.4 peratus) dan Lahad Datu (2.4 peratus).

Kelapan-lapan daerah ini terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, jauh di luar kawasan bandar raya Kota Kinabalu yang merupakan kawasan pertumbuhan ekonomi terpenting di negeri ini,

Berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2022, jumlah kemiskinan tegar seluruh negara di kawasan bandar adalah 0.1 peratus manakala di kawasan luar bandar jauh lebih tinggi iaitu 0.7 peratus.

Sabah mencatat kemiskinan tegar tertinggi iaitu 1.2 peratus berbanding Kelantan 0.8 peratus dengan hanya satu daerah pedalamannya iaitu Lojing, diikuti Pusa, Sarawak pada 0.4 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) Datuk Dr Ramzah Dambul, data kemiskinan dan kemiskinan tegar di Sabah ‘sudah cukup’ memaparkan situasi sebenar kemiskinan luar bandar serta pedalaman Sabah yang amat berbeza berbanding Semenanjung.

Perkara itu, katanya, sekali gus menuntut pendekatan yang berbeza dalam mendepani cabaran itu bagi memastikan inisiatif yang diambil mampu merubah realiti kemiskinan yang begitu menekan kehidupan penduduk. 

“Kadar kemiskinan tegar 1.2 peratus (di Sabah) itu cukup tinggi berbanding kadar seluruh negara pada tahap 0.2 peratus. Jadi Sabah perlu ada penyelesaian sendiri, bukan ‘salin dan tampal’ dari Semenanjung.

“Tiada penyelesaian one size fit all (satu penyelesaian untuk menangani isu kemiskinan di seluruh negara). Selalu kita lupa dan kita sama ratakan sahaja langkah bagi selesaikan isu ini, tetapi terdapat perbezaan yang besar antara Semenanjung dengan Sabah. Maka, untuk itu, kita perlukan penyelesaian khusus buat Sabah,” katanya kepada Bernama.

Urbanisasi

Ramzah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, demografi urbanisasi antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah yang berbeza dengan Semenanjung turut membuatkan demografi kemiskinan juga berbeza.

Beliau berkata, tahap urbanisasi kawasan bandar di Semenanjung adalah pada 70 peratus menunjukkan terdapat 30 peratus penduduk di luar bandar, namun berbeza dengan Sabah apabila 50 peratus penduduk masih tinggal di kawasan luar bandar.

“Tetapi bila kita bercakap tentang kumpulan paling terkesan dengan kemiskinan iaitu bumiputera, sebanyak 65 peratus daripada kumpulan ini masih tinggal di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.

Menyentuh mengenai ‘teori penyelesaian’ isu kemiskinan yang sering kali dilihat di Semenanjung iaitu penghijrahan penduduk kawasan luar bandar ke kawasan urbanisasi tinggi di bandar, beliau berkata, jika dilihat pada mata kasar, ia kaedah yang baik apabila penduduk terlibat boleh mendapat peluang pekerjaan lebih besar.

“Tapi ini saya kata jangan sama ratakan Sabah dengan Semenanjung. Ada yang cakap ikutlah cara Semenanjung, kamu yang duduk di bawah pokok di dalam hutan pergilah ke bandar. Ini tidak boleh sebabnya (ketua isi rumah) yang miskin di Sabah itu hampir 50 peratus tiada sijil pendidikan.

“Jadi mereka ini tiada sijil yang boleh digunakan untuk cari kerja malah sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) pun tiada. Kalau pergi ke bandar lebih menambah masalah. Ini terjadi kerana terdapat jurang pendidikan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Berdasarkan analisis agensi kerajaan Sabah, daripada 9,356 ketua isi rumah miskin tegar yang disoal selidik, sebanyak 42 peratus tidak mempunyai kelulusan akademik manakala hanya 36 peratus memiliki pendidikan setakat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR.

Perkara itu secara langsung memperlihatkan betapa pentingnya usaha meningkatkan tahap pendidikan di Sabah sebagai satu jalan penyelesaian isu kemiskinan di negeri ini.

Makan seumur hidup

Memetik pepatah Cina yang bermaksud “Bila anda beri seseorang ikan, maka anda memberinya makan untuk satu hari, tetapi bila anda ajar seseorang itu memancing, maka anda akan memberinya makan seumur hidup,”, Ramzah berkata dalam mengatasi isu kemiskinan di Sabah, ia memerlukan ‘lebih daripada itu’. 

“Sabah perlu ikan dan belajar memancing tetapi kita juga ada keperluan kritikal yang barangkali di Semenanjung tidak begitu kritikal iaitu ‘kolam’. Kemiskinan ini adalah mengenai akses kepada peluang ekonomi untuk golongan miskin ini majukan diri.

“Kalau tidak dapat akses peluang ekonomi kita beri peluang, beri joran ajar mereka memancing bermaksud kita beri latihan kepada mereka meraih peluang ini. Kita juga perlukan ini di Sabah tetapi di Semenanjung ‘kolam’ memancing itu lebih mudah diakses berbanding Sabah,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, Lojing di Kelantan yang merupakan daerah termiskin di Semenanjung mempunyai akses kepada ‘kolam’ pertumbuhan ekonomi yang berdekatan contohnya, Ipoh, Perak.

Berbeza dengan Tongod di Sabah, daerah termiskin di Malaysia dengan ‘kolam’ pertumbuhan ekonomi terdekat adalah Kota Kinabalu yang mengambil masa perjalanan kira-kira enam jam, malah infrastruktur pengangkutan seperti jalan raya yang teruk lebih menyukarkan akses penduduk.

“Kesukaran ini tidak sama. Kota Kinabalu adalah satu-satunya ‘kolam’ pertumbuhan ekonomi untuk diambil peluang seluruh Sabah berbanding banyak ‘kolam’ di Semenanjung. Jaraknya amat jauh dengan infrastruktur kemudahan tidak baik, jadi sukar penduduk kita mahu akses peluang ekonomi ini,” jelasnnya.

Ini ditambah dengan keluasan Sabah iaitu  73,904 kilometer persegi, lebih luas berbanding negeri lain di Semenanjung, malah negeri kedua terluas di Malaysia selepas Sarawak yang berkeluasan 124,450 kilometer persegi.

Situasi ini, katanya, mewujudkan ketaksamaan ekonomi yang besar untuk mengakses ekonomi di Sabah apabila kumpulan T20 mendapat 46.2 peratus peluang ekonomi berbanding M40 pada 37 peratus, dan menyedihkan apabila B40 hanya memperoleh 16.8 peratus peluang ekonomi itu.

“Peluang ekonomi itu ‘dikepung’ oleh T20 yang berada di kawasan bandar ‘kolam’ ekonomi, ‘kepung’ hampir separuh peluang ekonomi itu. B40 di luar bandar dapat peluang kurang 20 peratus kerana tiada ‘kolam’ pertumbuhan ekonomi yang boleh mereka akses dengan baik.

“Ini mewujudkan situasi seperti peribahasa Melayu - “si untut juga yang berkutil” dan “yang rebah ditindih,” bermaksud ‘orang kaya juga yang bertambah-tambah kekayaannya’ dan ‘yang sudah miskin bertambah miskin’. 

Wujudkan lebih ‘kolam’

Akur mendepani perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dalam memastikan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat dinikmati sama rata, Ramzah berkata, langkah menambah baik dan membina lebih banyak infrastruktur awam di Sabah terutamanya jalan raya merupakan keutamaan bagi memberi akses penduduk luar bandar dan pendalaman ke kawasan pertumbuhan ekonomi.

Langkah berkenaan, tegasnya, sekali gus, mewujudkan lebih banyak ‘kolam’ di negeri itu.

“Soal infrastruktur ini boleh dilakukan tetapi ia adalah langkah jangka panjang kerana bagi mengatasi masalah ini, kita memerlukan kira-kira RM50 bilion, jumlah yang amat besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, IDS melaksanakan satu kajian iaitu dengan memperkukuhkan tahap ekonomi di peringkat akar umbi penduduk di luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Kita mencipta sendiri ‘kolam-kolam’ kecil di kawasan luar bandar dan pedalaman ini, dengan mencipta peluang dalam ekosistem ekonomi tempatan itu sendiri, seperti mewujudkan keusahawanan sosial yang mana penduduk terlibat beroleh limpahan daripadanya.

“Di kawasan tiada banyak ‘kolam’ pertumbuhan ekonomi di Sabah, kita bantu bina keusahawanan sosial antaranya Kraftangan Batu Lunguyan yang penduduknya boleh menghasilkan kraftangan tradisi dan menjualnya ke seluruh negara malah luar negara juga,” katanya menambah, Kraftangan Batu Lunguyan di Keningau memberikan akses ekonomi kepada lebih 60 penduduk di kawasan itu seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

Belanjawan Sabah 2025

Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Jumaat lepas (15 November) jelas mencerminkan usaha terkini kerajaan Sabah yang terus komited mendepani isu kemiskinan ini.

Bagi memberikan ‘ikan’ kepada yang memerlukan, buat julung kalinya bantuan RM300 sebulan untuk tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini menerusi belanjawan itu melibatkan peruntukan RM358.5 juta.

Dalam ‘mengajar memancing’ pula, kerajaan Sabah memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada arus pembangunan, taraf hidup dan ekonomi.

Menurut Masidi, antara program terlibat adalah bantuan sekali bayar RM5,000 bagi membantu meningkatkan perniagaan peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah, yang juga program julung kali diadakan.

Selain itu, sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN, iaitu peningkatan peruntukan 100 peratus berbanding belanjawan tahun ini (2024), yang mana setakat bulan lepas sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ siap dibina.

Sebanyak RM19.5 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan Pembaikan Kawasan, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.

Selain itu, RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah.

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada langkah membasmi kemiskinan itu bakal menyokong terus usaha mengukuhkan ekonomi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, seterusnya memperkasa ekonomi penduduk di peringkat akar umbi, antara lain, dengan mewujudkan ‘kolam’ kecil ekonomi di kawasan masing-masing.

Kerajaan Sabah juga memperuntukkan RM2.6 bilion bagi meningkatkan tahap infrastruktur dan utiliti dalam menangani masalah yang diwarisi sekian lama, antaranya, rangkaian jalan raya, bekalan air serta elektrik dan kemudahan awam lain.

Kesemua usaha ini menjurus kepada usaha memudahkan akses rakyat Sabah kepada ‘kolam’ ekonomi di Kota Kinabalu di samping meningkatkan usaha membangunkan lebih banyak ‘kolam’ ekonomi baharu terutamanya di Tawau dan Sandakan. 

Agihan saksama

Ketika diminta mengulas sejauh mana belanjawan 2025 itu mampu memain peranan dalam membangunkan ekonomi sosial itu, Ramzah menjelaskan ianya dapat dilihat menerusi dua tonggak utama belanjawan iaitu pertumbuhan produktif dan agihan saksama.

“Ini penting bagi negeri marginal seperti Sabah, ini bermaksud fokus belanjawan ini bukan hanya mahu membesarkan kek ekonomi negeri tetapi juga memastikan semua orang dapat merasai bahagian masing-masing secara adil dan saksama.

“Ada tiga pemboleh daya untuk memacu dua tonggak ini iaitu pembangunan modal insan, tambah baik infrastruktur dan kecekapan urus tadbir. Dua tonggak ini bagaikan stereng dan roda bagi memandu ke arah matlamat dan tiga pemboleh ubah bagaikan enjin turbo memacu segala usaha terbabit,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan bertemakan ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu juga menekankan tentang ekonomi aras tinggi dan ekonomi akar umbi yang mana ini penting buat Sabah yang mempunyai jurang besar antara bandar dengan luar bandar dan pedalaman selain jurang T20 dengan B40.

“Saya tidak mahu menyatakan statistik secara spesifik dalam belanjawan ini, namun ini akan memastikan lanskap pembangunan dan agihan kemakmuran akan menjadi lebih inklusif,” katanya.

Menurut beliau, usaha berkenaan boleh dilihat apabila sokongan sektor perindustrian dipacu pelaburan, import & eksport dan teknologi tinggi. Belanjawan 2025 itu juga memberi perhatian khusus terhadap sektor pertanian desa, pelancongan komuniti dan industri kecil dipacu industri kecil dan sederhana (IKS).

“Ini semua disertai penggerak ekonomi tempatan yang melibatkan sebuah ekosistem ekonomi negeri yang akan mengukuhkan ekonomi akar umbi. Belanjawan ini saya lihat bukan hanya gula-gula politik menjelang pilihan raya negeri, tetapi belanjawan membangunkan negeri dan membantu rakyat,” katanya.

Mengubah Tongod

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut Datuk Masiung Banah ketika mengulas mengenai  kemiskinan Tongod, antara kawasan dalam DUN tadbirannya berkata, beliau sering mengutarakan isu kemiskinan Tongod dalam persidangan DUN dan platform lain sebelum ini tanpa kesan begitu besar.

Namun, tambah beliau, isu berkenaan mula menjadi bahan berita utama apabila Tongod diuar-uarkan sebagai daerah termiskin di Malaysia.

“Saya sebagai wakil rakyat sudah lama berjuang memajukan Tongod, jadi bila diumum Tongod daerah termiskin saya fikir positif kerana seluruh negara tahu perjuangan ini dan sudah tentu lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan untuk kami. Apa yang penting nasib penduduk Tongod dapat dibela,” katanya.

Tongod terletak 255 kilometer arah Tenggara dari Kota Kinabalu dengan perjalanan merentas jalan berbukit dan beberapa kawasan jalan yang rosak teruk, dengan ketinggian berbeza-beza di kawasan Gunung Kinabalu merentas daerah Ranau.

Daerah ini mempunyai keluasan 10,052 kilometer persegi dan lebih luas berbanding beberapa negeri di Semenanjung, sebagai contoh, Kedah yang berkeluasan 9,447 kilometer persegi.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, pada April lepas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan pembinaan kilang batu hangus dan simen dengan nilai pelaburan RM1.2 bilion dan dijangka siap pada akhir tahun ini.

“Kilang itu bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan memberikan limpahan ekonomi kepada peniaga sekitar kawasan berkenaan. Ini cara untuk membasmi kemiskinan yang ada di Tongod melalui peluang pekerjaan kekal lama,” katanya menambah, ahli keluarga golongan miskin tegar akan diberi keutamaan untuk diambil bekerja.

Beliau pada masa sama berkata, pertanian juga antara usaha membawa Tongod keluar daripada belenggu kemiskinan, meliputi kawasan seluas 1,618.74 hektar sedia untuk dijalankan penanaman padi bukit dengan kerjasama petani di kawasan itu.

Tambahnya, kadar sara diri (SSR) beras di Sabah yang hanya sekitar 22.8 peratus menunjukkan banyak ruang potensi untuk Tongod maju sebagai antara pengeluar beras utama Sabah, selain sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan menjadi kunci utama untuk menjayakan projek ini.

“Pekan Tongod juga sedang dibangunkan, antaranya, dengan perancangan pembangunan pusat komersial rumah kedai bernilai RM7 juta diterajui LPPB dan pelbagai pembangunan lain di kawasan itu.

“Melalui pelbagai projek yang dirancang daripada pembangunan komersial hingga ke kilang besar dan tanaman padi, Tongod kini berada dalam arus perubahan,” katanya.

Kesimpulannya, perjalanan transformasi merubah isu kemiskinan yang sekian lama mencengkam ini menuntut perhatian serius semua pihak.

Tongod, sebuah daerah pedalaman yang sebelum ini sering dilupakan, bangkit menjadi simbol harapan bagi pembangunan penduduk luar bandar dan pedalaman di Sabah, agar akhirnya mereka dapat menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa, yang didambakan, sekian lama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS