Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kewartawanan mendalam selami isu bermakna, angkat suara pinggiran

Sebagai Editor Laporan Khas, saya memimpin projek kewartawanan penyiasatan dan pelaporan panjang di Malaysiakini sejak lima tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, saya berpeluang melakukan apa yang ramai wartawan lain tidak – meneroka topik-topik menarik secara mendalam.

Kebanyakan wartawan tidak dapat melakukannya bukan kerana mereka tiada kebolehan mahupun keinginan. 

Namun persaingan dalam industri media memang sengit, dengan matlamat utama untuk menjadi yang pertama dan terpantas. Maka, kebanyakannya tiada masa dan ruang untuk menggali sesuatu topik secara lebih mendalam. Ia adalah satu kelebihan.

Di saat wartawan lain biasanya dijangka menulis empat artikel sehari, wartawan pasukan saya - yang hanya ada dua orang - menghasilkan hanya empat artikel setahun.

Ini bukan hiperbola. Setiap siasatan kami mengambil masa lebih daripada sebulan untuk disiapkan – melibatkan analisis data, temu bual dengan pelbagai sumber, pengesahan maklumat dan akhirnya, menyampaikannya dengan cara dan bentuk yang diharap dapat memberi impak terbaik.

Penghasilan laporan sahaja - dengan pasukan Kini News Lab yang hanya memiliki empat anggota - boleh mengambil masa sebulan.

Inilah kewartawanan mendalam, atau slow journalism, dan saya katakan - dengan mempertaruhkan pekerjaan saya sendiri - ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal dari sudut perniagaan.

Walaupun ada seruan untuk lebih banyak kewartawanan penyiasatan di seluruh dunia, organisasi media kini sedang bergelut dengan hakikat kemerosotan jumlah pembaca untuk laporan mendalam. 

Ia membawa kepada cabaran untuk menjana pendapatan daripadanya dan agar sokongan terus diberikan untuk usaha yang mahal ini.

Inilah sebabnya bilik berita di seluruh dunia sama ada menutup meja laporan khas atau mengecilkan pasukannya, dan memberi lebih tumpuan kepada usaha menjana pendapatan menerusi pelaporan berita terkini secara pantas, agar bilik berita boleh terus bertahan.

Inilah yang menjadikan Malaysiakini berbeza.

Dengan pergelutan yang kian mencabar untuk terus bertahan, Malaysiakini terus menyokong kerja yang dihasilkan oleh saya dan pasukan. Dan sokongan itu bukan hanya secara kewangan.

Kewartawanan penyiasatan – atau kewartawanan secara umumnya – adalah usaha yang berisiko, dan risiko itu tidak selalunya datang dari arah yang anda fikirkan. Saya sering ditanya tentang dasar dan undang-undang menindas yang membantutkan kewartawanan di Malaysia. Untuk berlaku adil, ia memang wujud.

Hukuman denda RM500,000 yang dikenakan ke atas Malaysiakini atas pendakwaan menghina mahkamah – bukan kerana berita yang disiarkan tetapi kerana komen pembaca – boleh menyebabkan syarikat gulung tikar jika bukan kerana sumbangan yang diberikan pembaca. 

Saya juga diancam oleh polis dengan penangkapan di bawah Akta Hasutan berhubung dengan laporan kami sempena ulang tahun ke-50 tragedi 13 Mei 1969. Ini juga adalah satu risiko nyata.

Malaysiakini sebagai hos forum 13 Mei bertemakan “perkongsian antara generasi” di Kuala Lumpur pada 2019.

Apatah lagi selepas Menteri Perpaduan Negara ketika itu, P Waythamoorthy, yang sepatutnya merasmikan acara tersebut, membatalkannya di saat akhir atas alasan ada komitmen lain.

Pada masa sama, ancaman juga datang daripada pihak persendirian.

Selain risiko berdepan tindakan polis, kami juga berdepan risiko daripada pihak yang mengancam untuk menyerbu acara kami yang menampilkan saksi mata tragedi tersebut. Ini kerana, menurut mereka, laporan kami memaparkan versi tragedi yang tidak dipersetujui mereka. Pihak yang sama turut memulakan serangan doxing (pendedahan maklumat peribadi) ke atas saya dan wartawan lain yang terlibat dalam projek itu.

Ancaman doxing dan buli siber kekal menjadi risiko yang sentiasa perlu dihadapi wartawan kami dan saya sehinggakan perlu merangka satu protokol keselamatan untuk Malaysiakini - sebagai persediaan menghadapi serangan seumpama itu daripada pihak yang terancang mahupun tidak. Serangan itu boleh saja memburuk sehingga memberi ancaman fizikal.

Risiko juga datang daripada pihak berpoket tebal yang cenderung menggunakan jalan undang-undang. Mereka menggunakan proses undang-undang secara strategik untuk mendiamkan kami.

Kos membayar peguam untuk menjawab surat tuntutan yang ringkas sahaja sudah bersamaan dengan gaji bulanan beberapa wartawan baru. Memandangkan Malaysiakini - dan juga banyak organisasi media lain - terpaksa berjimat untuk terus bertahan, ini sangat membimbangkan.

Begitu juga dengan mengambil peguam untuk mengiringi wartawan ketika memberi keterangan kepada polis, yang boleh memakan kos yang sama tingginya. Tidak murah untuk seorang wartawan dan organisasi media mempertahankan kerja mereka - walaupun mereka telah melakukan semuanya dengan betul. Ini belum dikira jika kami perlu ke mahkamah.

Namun, di tengah pelbagai cabaran ini, daripada pihak kerajaan mahupun swasta dan persendirian, ditambah pula dengan cabaran kewangan yang kian meningkat, Malaysiakini kekal teguh menyokong kerja Meja Laporan Khas dan Kini News Lab, dan saya sangat hargainya.

Sebahagian daripada pelaburan itu telah memberi pulangan, untuk kali pertama sejak lahir pada 25 tahun lalu, Malaysiakini merangkul Anugerah Kajai yang pertama - anugerah untuk kewartawanan terbaik di Malaysia. Kemenangan itu hasil kerjasama dua pasukan yang diketuai saya.

Malaysiakini menang Anugerah Kajai pertamanya untuk laporan khas bertajuk Bayi dirampas: Bagaimana ibu tiada kerakyatan 'hilang' anak di hospital Sabah.

Dua anugerah Society of Publishers in Asia - yang digelar Pulitzer Asia - yang dimenangi Malaysiakini juga merupakan hasil projek kewartawanan penyiasatan.

Kewartawanan data Kini News Lab juga telah menetapkan standard untuk kewartawanan seumpama itu di Malaysia dan serantau, meraih anugerah di peringkat antarabangsa dan menetapkan penanda aras baru untuk industri ini.

Namun apa yang lebih memberi kepuasan berbanding anugerah dan pengiktirafan adalah kesan daripada laporan yang dihasilkan, walaupun hanya kepada seorang individu.

Selepas Malaysiakini membangkitkan kes bayi yang disyaki dirampas di Sabah - laporan yang meraih Anugerah Kajai - Aimah, seorang wanita yang bayinya dirampas oleh pihak berkuasa tanpa kebenaran, hanya kerana dia miskin dan tiada status kewarganegaraan, akhirnya berjaya disatukan kembali dengan anaknya selepas pencarian selama dua tahun.

Ia adalah kemenangan kecil, dan tetap ada kepahitannya. Anak itu masih di bawah jagaan keluarga angkat, namun Aimah dijanjikan dapat berhubung dengannya. Janji itu tak selalunya dipenuhi, dan Aimah meneruskan perjalanan menyayat hatinya untuk terus berhubungan dengan anak sendiri.

Begitu juga dengan kami, perjalanan diteruskan.

Aimah hanyalah satu daripada begitu banyak suara yang terpinggir. Kisahnya menunjukkan betapa pentingnya kewartawanan penyiasatan, dan mengapa keteguhan Malaysiakini dalam menyokong kerja Meja Laporan Khas dan Kini News Lab adalah penting.

Kerja kami sebagai penghormatan kepada pergelutan dan tekad Aimah untuk mendapat keadilan, dan kami terus memaparkan kisah sepertinya dan kisah lain yang penting.


SOKONG KEWARTAWANAN BEBAS, langgan Malaysiakini hari ini dan jimat 25 peratus untuk menyokong kewartawanan bebas. Anda juga boleh menghadiahkannya. Selain itu, anda juga boleh memberi sumbangan di sini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS