Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing: 'Majikan' kaut jutaan ringgit menerusi sindiket ‘A to B’

Rumusan laporan:

1. Sindiket pekerja asing: 'Majikan' memohon kuota pekerja asing untuk dijual atau disewa, meraih jutaan ringgit melalui kuota dan pembaharuan permit (PLKS).

2. Penjawat awam terlibat: Sindiket ini dibantun oleh penjawat awam, hukuman ringan menjadikan merek tidak takut.

3. Keuntungan besar: Kuota dijual mahal, pekerja diberi gaji rendah, dan kelulusan kuota diperoleh melalui hubungan politik atau dokumen palsu.


EKSKLUSIF l Bercakap mengenai pekerja asing, kita sering dengar dua cerita berbeza. Satu pihak berkata pekerja asing sudah berlambak, manakala pihak lain berkata masih kurang tenaga kerja.

Persoalannya, siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong? Secara teknikalnya, kedua-dua pihak ini bercakap benar.

Bagaimana? Jawapannya “sindiket A to B”. Bawah sindiket ini, individu yang menggelarkan diri mereka sebagai “majikan” memiliki beribu-ribu pekerja asing walaupun tidak memerlukannya.

Pemegang kuota ini hanya memohonnya hanya untuk “menjual” atau “menyewanya” kepada pihak lain - kerja mudah yang menghasilkan berjuta-juta ringgit.

Golongan itu mengambil kesempatan dengan membekalkan tenaga kerja kepada sektor yang kurang pekerja atau sektor yang pengambilan pekerja asing dibekukan oleh kerajaan.

Malaysiakini difahamkan bahawa sindiket ini berkembang pesat sejak 1996 dan tidak dapat dibendung kerana mereka dibantu oleh penguat kuasa awam yang bersekongkol.

Walaupun ada penjawat awam yang ditangkap, kebanyakan masa hanya dikenakan hukuman kecil seperti dipindahkan kementerian ketimbang ganjaran lumayan yang diterima.

Semakan mendapati “majikan-majikan” ini mengaut keuntungan tahunan sekurang-kurangnya beratus ribu ringgit dengan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau menjual kuota pekerja.

Apa itu sindiket A to B ?

Menurut sumber yang pernah terlibat langsung dengan sindiket ini, “majikan-majikan” ini memang mendaftarkan syarikat masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dengan kuota pekerja asing yang besar, mereka menjualnya kepada pihak ketiga dengan harga berbeza mengikut sektor antara RM4,500 ke RM5,500 setiap seorang.

“Jadi, kamu kiralah. Katakan majikan ini menjual 1,000 kuota, dia akan dapat RM5.5 juta.

“Kalau tolak bayaran levi, insurans dan sebagainya dia masih untung bersih dalam RM2.5 juta hingga RM3 juta," katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata ini tidak termasuk pembaharuan PLKS yang dicaj dengan harga antara RM1,000 ke RM2,000 setiap satu. PLKS atau lebih dikenali sebagai permit kerja ini perlu diperbaharui setiap tahun.

"Pihak ketiga yang membeli kuota ini, masih perlu meminta bantuan majikan untuk pembaharuan PLKS kerana mengikut data Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pekerja asing ini masih di bawah majikan asal,” katanya.

Untuk jualan PLKS saja, majikan itu boleh membuat duit secara tetap setiap tahun selama maksimum 10 tahun berturut-turut.

Mengambil contoh dengan 1,000 pekerja asing saja, seseorang majikan itu boleh mengaut keuntungan sekurang-kurangnya RM10 juta dalam tempoh itu.

“Mudah saja buat duit di Malaysia," kata sumber itu yang kini tidak lagi terlibat dalam sindiket itu selepas ditipu oleh seorang majikan.

‘Sewa’ pekerja

Secara amnya, kebanyakan individu yang terlibat dalam sindiket ini merupakan warga asing, khususnya dari Bangladesh, Pakistan dan India.

Mereka berkahwin dengan wanita tempatan dan memulakan perniagaan atas nama isteri. Mereka juga sering menggunakan gelaran 'Datuk' untuk meningkatkan keyakinan pihak yang mengambil pekerja daripadanya.

Sementara itu, seorang lagi sumber yang masih aktif dalam urusan pekerja asing berkata, terdapat modus operandi lain dengan membekalkan pekerja kepada sektor yang pengambilan pekerja asing dibeku.

Majikan ini, atau lebih mudah dikenali sebagai majikan A, akan mengambil upah kerja daripada majikan lain (B) tetapi membayar kepada pekerja asing dengan harga lebih rendah.

Dia memberi contoh Majikan A mengutip RM2,500 sebulan daripada Majikan B tetapi hanya membayar gaji RM1,800 kepada pekerjanya, memberikan keuntungan bersih RM700 untuk setiap kepala.

Dengan 1,000 pekerja, katanya, majikan itu akan membuat keuntungan dalam RM700,000 setiap bulan.

Kahwin wanita tempatan

Bagaimanapun, jumlah sebenar selalunya bukan 1,000 pekerja, tetapi jauh lebih besar.

Hasil penyamaran wartawan Malaysiakini sebagai Majikan B yang mencari pekerja asing mendapati terdapat majikan mempunyai sehingga 6,000 pekerja asing.

Individu dari Bangladesh bergelar 'Datuk Seri' itu kini memegang kad MyPR (Pemastautin Tetap) dan berkahwin dengan dua wanita tempatan.

Dia kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Melalui sindiket A to B ini, dia mengaut keuntungan hampir RM1.8 juta sebulan, tidak termasuk keuntungan daripada pembaharuan PLKS tiap-tiap tahun yang mungkin membawa pendapatan antara RM5 juta hingga RM6 juta setahun.

Sementara itu, seorang warga Pakistan yang mempunyai gelaran Datuk pula mempunyai 2,000 pekerja.

Beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, dia yang juga berkahwin dengan wanita tempatan, terlibat dalam sektor pembersihan dan pasar mini.

Cara dapatkan kuota besar

Menurut seorang ejen berlesen, ada dua jenis kaedah untuk mendapatkan kelulusan kuota penggajian pekerja asing yang tinggi.

Pertama, mereka menggunakan hubungan rapat dengan ahli politik untuk mendapatkan akses di kementerian-kementerian terlibat.

Kedua, melalui penggunaan dokumen palsu dan bayaran kepada penjawat awam antara RM500 hingga RM1,000 sekepala.

Ejen agensi perlesenan swasta itu berkata kebanyakan mereka menggunakan “kaki” dalam KDN dan Kesuma, dua kementerian yang terlibat langsung dengan penggajian pekerja asing.

Kadangkala orang tengah digunakan, terdiri daripada saudara mara dan pihak yang rapat dengan ahli politik.

"Bila dapat kelulusan baru membuat bayaran,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengaku bahawa sejak kerajaan baru mengambil alih, sindiket ini telah berkurang.

"Saya tak kata tidak ada sindiket. Tapi, dah kurang sekarang.

Kelulusan 9,999

Semakan Malaysiakini menemui tiga kelulusan kuota yang amat besar, sehingga 9,999 pekerja asing.

Kelulusan itu diberikan kepada sebuah syarikat perladangan beralamat di pusat bandar Kuala Lumpur.

Kelulusan diberikan pada 17 November 2022, kira-kira sebulan selepas pembubaran parlimen oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob.

Dasar kerajaan menetapkan, sekiranya sebuah syarikat perladangan layak mendapat kuota 9,999 pekerja asing dengan syarat memiliki, menyewa atau pajak sekurang-kurangnya 8,230 ekar.

Namun, semakan dengan beberapa agensi kerajaan mendapati syarikat itu tidak mempunyai tanah perladangan yang besar.

Syarikat ini dimiliki oleh anak beranak dari Pahang, yang bapa, isteri dan anak menjadi pengarahnya.

Menurut seorang ejen, sang isteri cuba menjual kuota itu dengan harga RM6,400 untuk satu kepala, dengan syarat wang pendahuluan atau deposit sebanyak RM2 juta didahulukan.

"Namun, tiada siapa berani membeli kerana melibatkan jumlah yang tinggi. Kamu perlu hampir lebih kurang RM64 juta untuk membeli ke semua kuota ini,” katanya.

Jualan itu bagaimanapun tidak berjaya kerana syarikat itu tidak dapat membayar levi RM6.4 juta (untuk semua kuota diterima) kepada kerajaan.

“Tapi, soalannya, bagaimana syarikat ini dapat kelulusan kalau mereka tidak mampu bayar levi?

“Apakah pegawai yang memberi kelulusan tidak memeriksa latar belakang syarikat?" soal ejen terbabit.

Sementara itu, ejen itu juga mendedahkan wanita itu mendapat kuotanya sendiri (melalui syarikat lain) sebanyak 1,500 pekerja untuk sektor perkhidmatan (runcit dan borong).

Sedangkan, kata sumber, tidak wujud rantaian pasar mini atau pasar raya besar yang memerlukan sehingga 1,500 pekerja asing.

“Tapi, ada kelulusan dan yang ini pun dia tak dapat bayar levi sebelum kelulusan dibatalkan," katanya.

Malaysiakini juga menemui sebuah syarikat syarikat perikanan di Kampar, Perak yang mendapat kelulusan 2,500 pekerja asing bawah sektor pertanian (perikanan).

Kelulusan diberikan pada 5 Feb 2023, ketika kerajaan memperkenalkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing. Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika itu baru tiga bulan menguasai Putrajaya.

Pada 8 Feb 2023, Jabatan Perikanan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa berdasarkan statistik 2022 (sehingga November), terdapat 10,000 nelayan asing bekerja di atas 3,000 buah vesel perikanan tempatan berlesen di seluruh negara.

Jabatan itu mengunjurkan keperluan kru nelayan asing bagi tahun 2023 (suku pertama) di Semenanjung Malaysia sebanyak 17,486 orang. Sehingga kini, seramai 10,063 orang kru nelayan asing telah lulus PLKS.

Ini bermaksud, keperluan pekerja asing bagi sektor perikanan pada ketika itu di Semenanjung Malaysia pada ketika itu adalah sekitar 7,400 orang.

Ironinya, daripada jumlah keperluan ini hampir 33 peratus diberikan kepada satu syarikat sahaja.

Lebih mengejutkan, syarikat ini tidak membayar levi sehingga kelulusan 2,500 ini dibatalkan.

Sindiket masih beroperasi

Di sebalik keputusan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing pada 18 Mac 2023 (dengan pengecualian terhadap beberapa sektor), sindiket ini masih beroperasi.

Baru-baru ini, sebuah koperasi yang beroperasi di Pahang mendapat kelulusan penggajian pekerja asing sebanyak 1,125 untuk sektor perladangan.

Selepas mendapat kelulusan, koperasi itu bekerjasama dengan sebuah agensi pekerja asing yang beroperasi dari pinggir bandar Kuala Lumpur.

Pemilik agensi yang merupakan seorang warga India berkata mereka hanya cuba membantu koperasi membawa masuk pekerja asing untuk ladang koperasi itu.

"Kami tidak terlibat dalam sindiket A to B. Kami hanya bantu koperasi itu. Kami ada usahasama dengan koperasi itu," kata pemilik agensi itu kepada Malaysiakini.

Wartawan Malaysiakini menyamar sebagai ejen dan berjumpa dengan salah seorang wakil agensi itu di ibu negara baru-baru ini.

Hasil penyamaran didapati sekurang-kurangnya 200 kuota sedia untuk dijual.

Pada awalnya, dia membuka harga RM6,800 untuk satu kuota. Tetapi, selepas berunding, dia mengurangkan harga kepada RM6,400 - kurang RM400.

Syaratnya, wang pendahuluan RM150 untuk setiap kuota harus dibayar dulu.

Kenapa tak dapat ditumpaskan?

Hampir semua bekas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kesuma yang ditemui Malaysiakini bersetuju sindiket ini tidak dapat ditumpaskan selagi ada komplot dengan penjawat awam.

Malah, hukuman ringan pula membuatkan orang tidak takut.

"Kita selalu baca berita, majikan tidak bayar gaji pekerja asing. Ejen ditahan atas tuduhan 'kesalahan pemerdagangan manusia'.

"Bagaimana ini boleh berlaku sekiranya tidak ada bantuan penjawat awam? Dan apa hukuman kepada penjawat awam yang terlibat ini,” soal seorang bekas pegawai JIM yang enggan namanya didedahkan.

Katanya, dalam banyak kes, penjawat awam terlibat hanya dipindahkan ke jabatan lain.

“Sebagai, contoh kalau saya sebagai penjawat awam ditahan dan dipindah ke jabatan lain, orang lain menggantikan tempat saya akan meneruskan,” katanya.

"Saya cuma perlu memperkenalkan ejen dan 'majikan' di luar sana kepada orang baru yang menggantikan tempat saya dan akan terus dapat 'bahagian' (rasuah) saya."

Malaysiakini juga mendapati pada kebanyakan masa, penjawat awam yang dituduh di mahkamah hanya melibatkan mereka yang berpangkat rendah.

"Kamu pun tahu kan, ada kes seorang pegawai pernah terlibat dalam kes rasuah dan dipindah di bahagian lain sebelum dilantik sebagai ketua setiausaha (KSU) tidak sampai setahun.

"Ini cuma salah satu contoh. Ada berpuluh-puluh kes sebegini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS