Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Petaling Jaya terima sumbangan dron berharga lebih RM60,000

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini menerima sebuah dron canggih yang dilengkapi keupayaan pengawasan beresolusi tinggi daripada QN Net, sebuah syarikat jualan langsung global berasaskan e-dagang.

Dron berkenaan disampaikan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Menara QI, Petaling Jaya.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan QI, Krishna Kumar berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada program kerjasama teknologi untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan warga Petaling Jaya.

"Dron ini dilengkapi dengan keupayaan pengawasan beresolusi tinggi untuk menyokong respons yang lebih pantas, mempertingkatkan pencegahan jenayah dan memudahkan akses ke kawasan yang sukar dicapai.

"Dron ini dapat memberikan penyelesaian mampan yang dapat meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian komuniti," katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Menurut Krishna, selain memiliki perisian pengecaman muka, dron itu juga dilengkapi sensor haba, dapat mengesan nombor plat kenderaan dari udara dan boleh bergerak dalam radius lima kilometer dari udara.

Krishna berkata dron berharga lebih daripada RM60,000 itu merupakan dron prototaip pertama yang diberikan kepada IPD berkenaan.

Sementara itu, Shahrul Nizam ketika menerima sumbangan itu berkata dron merupakan salah satu teknologi yang banyak membantu tugas polis dalam menjaga keselamatan masyarakat dan mencegah aktiviti jenayah.

Katanya, penggunaan dron dapat membantu polis membuat kawalan dan pemantauan dalam masa nyata di kawasan berisiko tinggi atau sukar diakses seperti di lokasi kejadian bencana alam, kesesakan jalan raya mahupun ketika berlaku insiden tidak diingini seperti rusuhan.

“Saya juga merasa bangga dan besar hati bagi pihak IPD PJ di mana kami menjadi satu-satunya IPD yang menerima sumbangan dron untuk dijadikan sebagai aset keselamatan awam yang dibiayai sepenuhnya oleh QI Group Malaysia,” kata Shahrul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS