Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menempelak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana melakukan apa yang disifatkannya sebagai "pembunuhan sewenang-wenang" terhadap haiwan terbiar.

Ismail menggesa pihak berkuasa mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang telah diluluskan oleh parlimen.

"Apa yang berlaku sekarang ini banyak dalam kalangan majlis daerah atau PBT yang menggunakan undang undang kecil mereka dalam membunuh ataupun menembak haiwan liar ini.

"Saya ingin menyatakan bahawa oleh kerana Akta Kebajikan Haiwan ini diluluskan di parlimen, akta ini mengikat majlis daerah dan sebagainya dari segi tindakan.

"Kita harap pihak majlis tidak menjadikan alasan ini untuk menembak haiwan sesuka hati tanpa sebab munasabah yang dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 12 Nov lalu, kira-kira 100 orang hadir di bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bagi membantah tindakan membunuh anjing liar.

Ismail adalah salah seorang daripada ahli parlimen yang menerima memorandum daripada kumpulan berkenaan.

New Straits Times sebelum ini melaporkan DVS Terengganu menerima beberapa pertanyaan awam pada 13 Okt lalu mengenai video tular yang mendakwa wakil PBT itu menembak seekor anjing bernama Kopi.

Jabatan itu berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan.

Pada 8 Nov, NST juga melaporkan seorang bekas ahli majlis Manjung mendedahkan bahawa berpuluh-puluh bangkai anjing, bersama anak anjing hidup, ditinggalkan dalam lubang selepas didakwa ditangkap dan ditembak oleh penguatkuasa PBT di Sitiawan.

Khairil Azhar Khairuddin memuat naik beberapa video menunjukkan imej mengejutkan itu di mana ada anjing yang masih memakai kolar, dibiarkan terperangkap dalam lubang sedalam kira-kira empat kaki di tapak pelupusan sampah.

Sementara itu Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global S Sashi Kumar hari ini mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming cuba meremehkan pencabulan terhadap hak haiwan.

Kaji semula Akta Kebajikan Haiwan

Ismail Sabri menggesa pihak berkuasa tempatan mengamalkan pendekatan lebih terkawal dan belas kasihan apabila berhadapan dengan haiwan liar, selain melaksanakan kuasa mereka dengan penuh tanggungjawab.

Ahli Parlimen Bera itu juga menggesa agar Akta Kebajikan Haiwan dikaji semula untuk meningkatkan keberkesanannya dan mengatasi sebarang kelemahan yang ada.

"Ada beberapa cadangan supaya dikaji semula Akta Kebajikan Haiwan dan jika perlu, dipinda. Maka kerajaan diharap dapat meminda akta ini," katanya.

Katanya, semakan akta itu harus mengukuhkan perlindungan dan mencegah penyalahgunaan undang-undang kecil untuk mewajarkan pembunuhan haiwan terbiar.

Sekiranya DVS menghadapi kekangan dalam menguatkuasakan akta tersebut, bekas naib presiden Umno itu menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau kes penderaan haiwan atau memberikan tanggungjawab itu kepada agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, sebuah jawatankuasa khusus boleh memastikan pengawasan berterusan dan mencegah insiden kekejaman terhadap haiwan.

Kerjasama dengan NGO

Dia juga berkata selain di luar penguatkuasaan undang-undang, perlu ada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan pusat perlindungan haiwan yang dikendalikan oleh NGO.

"Banyak NGO menyediakan tempat perlindungan untuk haiwan terbiar, jadi saya berharap majlis tempatan akan bekerjasama dengan organisasi ini untuk menawarkan perlindungan dan menjaga haiwan terbiar," katanya.

"Haiwan ini berkeliaran kerana mereka tidak mempunyai rumah; mereka menyelongkar sampah kerana mereka lapar.

"Mereka melakukan ini kerana mereka tiada pilihan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kebajikan mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS