Seorang Adun Sabah menggesa kerajaan persekutuan mendedahkan identiti mereka yang diberi lesen cari gali di negeri itu.
Adun Moyog, Darell Leiking berkata, kerajaan perlu telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Apa yang saya cadangkan kepada kerajaan ialah, jika mereka mahu menjelaskan perkara ini dan sebenarnya tiada apa yang perlu disembunyikan, dedahkan semua syarikat yang telah diberikan lesen cari gali ini supaya kita tahu siapa mereka.
"Ini adalah aset Sabah dan ini adalah masa depan Sabah, dan kita biarkan orang menguruskan aset kita dengan pelbagai perkara meragukan berlaku di sebalik tabir," katanya semasa perbahasan belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Sebelum ini, seorang pemberi maklumat mendakwa kepada Malaysiakini bahawa dia mempunyai bukti rasuah melibatkan lapan Adun Sabah.
Pemberi maklumat tersebut merupakan ahli perniagaan yang kemudiannya mengaku dia adalah individu yang memberikan rasuah kepada ahli politik terbabit sebagai balasan untuk mendapatkan projek cari gali mineral di negeri itu.
Bagaimanapun, lesen kepadanya dibatalkan walaupun dia pada awalnya dilapor telah mendapat lesen berkenaan.
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, turut senada dengan gesaan Leiking.
"Mesti ada ketelusan. Soalan transparency is good," kata ADUN Senallang itu.
Selain itu, Leiking memuji bekas ketua pegawai eksekutif Pengurusan Mineral Sabah (SMM), Jontih Enggihon yang sebelum ini mendakwa salah urus dalam projek cari gali mineral di Sabah.
Semalam, Jontih menafikan dakwaan dia berpakat dengan pemberi maklumat di sebalik video skandal rasuah tersebut.
Dia juga mendakwa mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, "menyalahgunakan kuasanya".
Jontih berkata dia sedia menyerahkan bukti yang dimilikinya kepada SPRM.
Video yang memaparkan Jontih itu pertama kali disiarkan pada 12 November.
Dalam video tersebut, yang dirakam dengan persetujuannya, Jontih mendakwa bahawa ketua menteri Sabah, Hajiji Noor, yang juga merupakan pengerusi SMM, masuk campur dalam proses pemilihan berkaitan projek berkenaan.