Kerajaan Selangor dijangka memuktamadkan keputusan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada akhir tahun ini atau awal 2025.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata dengan mengguna pakai akta tersebut ia dijangka mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang kini ditanggung oleh kerajaan negeri menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM).
Katanya ketika ini kos operasi yang ditampung oleh KDEBWM bagi memungut satu tan metrik sampah dianggarkan RM7 hingga RM8 berbanding nilai sebenar pada RM14 hingga RM15.
“KDEBWM menanggung kos tambahan RM7 yang menyebabkan syarikat ini mengalami kitaran kewangan ketat dan menyukarkan pelaburan untuk membeli lori, peralatan baru dan sebagainya.
“Dengan Akta 672, jurang ini akan diisi dengan peruntukan kerajaan Persekutuan dan kita sedia berbincang untuk tujuan berkenaan.
"Harapnya pada akhir tahun ini atau awal 2025 kita selesai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di Shah Alam hari ini.
Media semalam melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima nota hasrat daripada kerajaan Selangor bagi meratifikasi Akta 672.
Menterinya Nga Kor Ming memberitahu perbincangan bagi penerimaan akta itu sedang berjalan dan perkembangannya akan dimaklumkan.
Sementara itu, Amirudin berkata dengan menandatangani akta tersebut Selangor dijangka menyelesaikan masalah kos serta kewujudan tapak pelupusan sampah haram di negeri berkenaan.
Mengulas mengenai SES 2024, Amirudin berkata sidang kemuncak yang julung kali diadakan antara 27 Nov hingga 1 Dis di Pusat Konvensyen Setia City itu akan mengumpulkan beberapa program pendidikan anjuran agensi kerajaan dan pelbagai pihak.
Katanya dianggarkan 150,000 pengunjung akan hadir ke acara itu yang turut melibatkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor, Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor, Kemahiran Terkini Selangor dan Karnival EDU-STEM Selangor.
Menteri besar berkata penganjuran SES 2024 juga adalah untuk memperkasakan agenda pendidikan dan penyediaan modal insan berkemahiran dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kerjasama pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan serta industri dan penyedia teknologi dari dalam dan luar negara,” katanya.
- Bernama