Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabah Mineral ambil tindakan undang-undang terhadap bekas CEO
Diterbitkan:  Nov 18, 2024 6:09 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas CEO Jontih Enggihon yang didakwa bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk memberi manfaat kepada “entiti yang berisiko ada konflik kepentingan.”

Dalam kenyataan hari ini, SSM memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman mendakwa mendapati ada pelanggaran tanggungjawab fidusiari, kegiatan penipuan, salah nyata (misrepresentation) atau penipuan terhadap lembaga pengarah SMM, serta salah laku oleh Jontih.

“Sebagai tindak balas terhadap dapatan ini, syarikat telah membuat laporan rasmi kepada SPRM dan polis.

“Siasatan telah mengenal pasti beberapa kejadian di mana Jontih bertindak melampaui kuasanya dan tindakannya bertujuan memberi manfaat kepada entiti dengan risiko konflik kepentingan, dengan bersekongkol dengan pihak ketiga yang mewakili kartel berkepentingan.

“Tindakan-tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah, yang merupakan satu pelanggaran serius terhadap dasar syarikat dan piawaian tadbir urus,” kata CEO SMM Natasha Sim.

Selain membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan dakwaan salah laku, SMM berkata peguam pihaknya juga meneroka tindakan sivil ke atas Jontih bagi mendapat ganti rugi untuk kerugian kewangan dan kerosakan imej yang dialami syarikat.

Namun, syarikat itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan yang didakwa dilakukan oleh Jontih.

Untuk rekod, kenyataan Jontih dilaporkan dalam beberapa artikel Malaysiakini mutakhir ini, berhubung dakwaannya yang Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyalahgunakan kuasanya.

Hajiji juga merupakan pengerusi SMM.

Dalam video yang dirakam pada 1 Oktober lalu, Jontih mendakwa Hajiji selaku pengerusi SMM telah masuk campur dalam proses pemilihan untuk lesen penerokaan (PL) dan menjaga kepentingan satu kontraktor.

Ia merupakan salah satu daripada sejumlah video yang didedahkan pemberi maklumat yang mengaitkan sejumlah Adun Sabah dengan skandal rasuah.

Hajiji telah menafikan terbabit dalam skandal itu dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai usaha untuk menjejaskan pentadbirannya.

Jontih pula menafikan dia berpakat dengan pemberi maklumat tersebut dan mendakwa ada bukti bagi menyokong dakwaan salah guna kuasa Hajiji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS