Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan mendedahkan dia berasa aib apabila isu bekalan beras tempatan masih belum dapat ditangani dengan berkesan oleh pihak yang berkenaan.

Mengecam krisis keyakinan itu sebagai kegagalan kerajaan menjelaskan keadaan sebenar, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, tidak ada makna apa-apa kepada rakyat sekali pun Putrajaya mengumumkan belanjawan beratus bilion ringgit untuk menguruskan bekalan beras tempatan.

"Saya nak tanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (yang) ada unit kawal selia padi dan beras, tapi sampai sekarang beras tempatan hampir tiada dalam pasaran.

"Saya petang semalam melihat di kawasan, ada beras import sahaja. Petani dan pesawah hasilkan padi, tapi hanya beras import paling banyak dijual di pasaran.

"Saya backbenchers (penyokong) kerajaan bukan dua bulan bukan minggu, tapi sudah dua tahun... tapi, masih tak selesai masalah ini.

"Malu saya sebagai ahli parlimen kerajaan," katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan juga meminta kerajaan mengesahkan persepsi rakyat berhubung ketiadaan beras tempatan di pasaran sama ada ia benar-benar berlaku atau sebaliknya.

"Ada persepsi rakyat (begitu), kalau ya tolong kata ya, kalau tidak kata tidak. Adakah beras import yang dijual di kedai-kedai sebenarnya beras tempatan atau campuran separuh beras tempatan separuh beras import.

"Ini persepsi rakyat, jadi saya nak tanya unit kawalan ini ada diberi kuasa, apa unit ini buat?" katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa perdana menteri bakal mendedahkan kewujudan kartel padi dan beras yang telah meraih keuntungan begitu banyak apabila memonopoli komoditi tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiapkan laporan mengenai perkara itu tetapi tidak dapat mendedahkannya buat masa ini.

"Laporan itu sudah siap dan saya sendiri tengok tetapi saya tidak boleh mendedahkan apa inti patinya. Saya tidak boleh mendahului perdana menteri.

"Kita tunggu perdana menteri dedahkan apa inti pati laporan itu," katanya, lapor Utusan Online.

Pada 11 Nov lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, membangkitkan isu mengenai harga beras tempatan pada masa ini yang dilihat terlalu rendah.

Menurut Mohamad, berdasarkan pandangan pemain industri, cabaran utama yang menyebabkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran adalah harga kawalan yang tidak kompetitif.

"Sejak 2008, harga siling beras putih tempatan telah ditetapkan RM2.60 sekilogram bagi memastikan rakyat mendapat beras pada harga yang berpatutan.

"Pada waktu itu, harga satu tan lebih kurang RM900. Sekarang yang ditetapkan RM1,300. Apakah nak kekal RM2.60?" katanya.

Selain itu, Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyelaraskan harga padi di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS