PARLIMEN | Penyedia perkhidmatan dalam talian akan diwajibkan memadamkan kandungan yang disyaki berbahaya secara sementara, sehingga pihak berkuasa melengkapkan siasatan mengikut Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Kulasegaran turut memaklumkan kabinet akan meneliti RUU tersebut sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat ketika sesi ini.

“RUU ini dapat menangani jenayah kewangan dalam talian.

“Usaha penggubalan RUU ini adalah sebagai langkah memastikan persekitaran dalam talian selamat untuk rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak,” katanya.

Kulasegaran berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) tentang bagaimana RUU Keselamatan Dalam Talian boleh membantu membanteras jenayah dalam talian.

Menutup lompong undang-Undang

Padaulan lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata RUU itu adalah langkah untuk menutup kelompongan dalam sistem perundangan negara ekoran tiadanya takrifan yang jelas bagi jenayah seperti buli siber.

Antara lain, undang-undang yang dicadangkan ini juga bertujuan menangani penipuan, perjudian dalam talian, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak – yang semakin berleluasa di media sosial.

“Kelompongan dalam undang-undang” merujuk kepada situasi di mana tiada undang-undang sedia ada untuk menangani suatu jenayah.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata RUU baru ini antara lain akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan untuk memadamkan kandungan yang dianggap berbahaya.

“Di bawah RUU ini, jenayah kewangan dalam talian akan dikategorikan sebagai kandungan yang serius dan diberi keutamaan.

“Ini bermakna jika suatu kandungan dilaporkan sebagai jenayah dalam talian, penyedia platform ada kewajiban untuk menurunkan kandungan tersebut secara interim sehingga siasatan lanjut dibuat terhadapnya,” katanya lagi.

Jenayah dalam talian

Terdahulu, Kulasegaran berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima 131,036 panggilan daripada orang awam antara Oktober 2022 hingga September lalu berkaitan sindiket penipuan dalam talian.

Daripada jumlah itu, 52,836 panggilan datang daripada mangsa, dengan kerugian berjumlah RM302.1 juta, katanya.

Susulan itu, Kulasegaran berkata sejumlah 103,557 akaun bank telah dikenal pasti menjadi akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian untuk memindahkan wang mangsa.

Bagi menangani penipuan dalam talian, kerajaan telah meminda Akta 574 dan Akta 593 dengan memberikan kuasa kepada polis untuk merampas wang yang disyaki berkaitan dengan kegiatan jenayah di mana-mana institusi kewangan.

Kulasegaran menjelaskan Seksyen 116D telah ditambah ke dalam Akta 593 untuk membolehkan polis berpangkat sarjan ke atas merampas atau menghalang transaksi yang disyaki melibatkan wang yang dipegang atau dipercayai dipegang dalam sebarang instrumen pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

“Pindaan ini membolehkan polis bukan sahaja merampas tetapi menghalang transaksi lain dilakukan bagi mengelakkan wang mangsa ‘penipuan dalam talian’ daripada dikeluarkan daripada ‘akaun keldai’,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS