Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada asas bimbang subsidi RON95 guna MyKad bebankan pengusaha - MCA
Diterbitkan:  Nov 18, 2024 1:57 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Kebimbangan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 oleh kerajaan ada asasnya apabila Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) turut menyuarakan perkara sama, kata Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er.

Katanya, kritikan Presiden MCA Wee Ka Siong mengenai kemungkinan mekanisme pelaksanaan itu mungkin membebankan pengusaha stesen minyak terbukti relevan.

"Ini susulan dua mekanisme yang berkemungkinan dilaksanakan untuk tujuan itu termasuklah melalui penggunaan MyKad, seperti disebut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini, atau kuota bulanan subsidi itu dimasukkan ke dalam e-dompet.

"Bumipeda semalam menyuarakan kebimbangan bahawa kedua-dua kaedah itu memerlukan pembangunan sistem khas terutama dalam menentukan penerima layak dan membabitkan kemudahan digital yang masih belum stabil di luar bandar.

"Seperti Ka Siong yang juga ahli parlimen Ayer Hitam, Bumipeda mencadangkan sistem satu harga dilaksanakan dengan bantuan kewangan disalurkan terus kepada penerima subsidi layak.

“Pendek kata, pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak seharusnya disubjekkan kepada proses pengesahan yang merumitkan, memakan masa mahupun menelan kos," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, MCA yang lebih memahami pemain industri dan kehendak orang ramai akan terus bersuara menyampaikan kegusaran serta keperluan rakyat.

Ini kata Chan supaya dasar-dasar kerajaan tidak menjejaskan industri berkaitan mahupun kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Gambar hiasan.

Sebelum ini Bumipeda memaklumkan tiada sebarang sesi libat urus atau rundingan setakat ini antara kerajaan dengan pihaknya.

Ia berhubung pelaksanaan mekanisme penggunaan MyKad dan e-dompet bagi pembelian RON95.

Setiausaha Bumipeda, Hanny Julia Haron berkata kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan bersama ekoran pihaknya pemegang taruh utama yang akan berhadapan langsung dengan rakyat dalam pelaksanaan dicadangkan.

Sementara itu, Bumipeda dilaporkan berkata kekangan kemudahan digital terutama di luar bandar mungkin boleh merumitkan pelaksanaan penyaluran subsidi petrol RON95 pada tahun depan jika kerajaan memutuskan penggunaan MyKad.

Kata Hanny, penggunaan Mykad ataupun sistem e-dompet memerlukan pembangunan sistem khas terutama dalam menentukan penerima layak dan membabitkan kemudahan digital di luar bandar yang masih belum stabil.

“Ini boleh merumitkan operasi stesen minyak di sana…tambahan pula kos naik taraf sistem mungkin mahal serta memerlukan masa untuk kajian menyeluruh sebelum pelaksanaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS