Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Bekas timbalan menteri, Isnaraissah Munirah Majilis, meluahkan kekecewaannya apabila Sabah terus tercicir daripada pembangunan negara.

Kata Ahli Parlimen Kota Belud itu, berdasarkan kepada data yang dibekalkan kerajaan dia mendapati semua daerah di Sabah berada di kedudukan tercorot berbanding tempat lain.

"Sebagai orang Sabah saya geram... paling rendah sehinggakan program dan projek di negeri pun masih di bawah (tidak dilaksanakan sepenuhnya), hanya dibelanjakan 46 peratus daripada RM6.7 bilion.

"Apa sebenarnya yang berlaku YB?," katanya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu Ahli Parlimen dari Warisan berkenaan mempersoalkan fungsi majlis tindakan pembangunan negeri dan jawatankuasa tindakan pembangunan negeri dalam melaksanakan projek di Sabah.

Dia bangun mengemukakan soalan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa.

Menurut Isnaraissah lagi, kelewatan pembangunan yang berlaku di Sabah bukan saja melibatkan agensi kerajaan negeri, malah juga projek dikendalikan oleh kerajaan pusat.

"Tolak dulu birokrasi, tolak dulu segala protokol. Marilah sama-sama kita selesaikan hal ini.

"Kita mahu cari penyelesaian untuk kita sama-sama menyelesaikan hal ini," katanya.

Dia yang pernah dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim pada 2018 menjelaskan bagi mengatasi keciciran tersebut, wakil rakyat Sabah perlu dilibatkan dalam mesyuarat yang diadakan.

Sementara itu ketika menjawab, Zaliha Mustafa berkata Sabah menjadi antara negeri yang paling tinggi menerima projek pembangunan daripada kerajaan pusat.

Katanya ada 1,244 projek pembangunan di Sabah sudah ditetapkan namun kapasiti untuk pelaksanaan agak rendah sehingga menyumbang kepada masalah kelewatan.

Zaliha juga bersetuju dengan cadangan agar ahli parlimen dilibatkan dalam proses melaksanakan projek pembangunan seperti yang dilakukan di Wilayah Persekutuan ketika ini.

Katanya, Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah dipengerusikan sendiri Ketua Menteri Hajiji Noor.

"Saya setuju boleh diambil pendekatan seperti itu untuk kita mengadakan libat urus dengan ahli parlimen terlibat dengan projek pembangunan di kawasan masing-masing," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS