Aktivis menuduh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming cuba meremehkan pencabulan terhadap hak haiwan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Nga berkata “pelupusan” haiwan liar adalah langkah terakhir dan kerajaan tempatan yang gagal mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 patut dikenakan tindakan.
“Kenyataan dangkal ini menunjukkan menteri dan jabatannya duduk dalam gua, terpisah dengan krisis yang sedang berlaku,” kata Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Sashi Kumar kepada Malaysiakini.
Minggu lepas, sekumpulan aktivis menyerahkan memorandum di parlimen untuk menuntut keadilan buat haiwan jalanan.
Insiden ini berlaku Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu bulan lepas dilapor menerima aduan awam mengenai video tular yang mendakwa pihak berkuasa tempatan itu menembak mati seekor anjing bernama Kopi.
Jabatan itu berkata, kes itu sedang disiasat bawah Akta Kebajikan Haiwan.
Pada 8 November, seorang bekas ahli majlis di Manjung mendedahkan puluhan bangkai anjing, termasuk anak anjing hidup, dibiarkan di dalam sebuah lubang selepas didakwa ditangkap dan ditembak oleh penguat kuasa.
Pada 12 November, Nga memberitahu Dewan Rakyat bahawa garis panduan penangkapan dan pelupusan anjing terbiar digunakan oleh pihak berkuasa tempatan, yang dilaksanakan bersama Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing.
Menteri itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan kaedah tangkap, kembiri, vaksin, dan lepas (TNVR), dengan alasan ia belum diiktiraf sebagai mekanisme standard antarabangsa dan melibatkan implikasi besar dari segi kos dan sumber manusia.
Sementara itu, Shashi mempersoalkan Nga sama ada pembunuhan Kopi dan kes di Sitiawan mematuhi garis panduan yang disebutnya.
“Jika kes-kes tersebut memenuhi spesifikasi garis panduan, maka garis panduan itu mesti disemak semula kerana jelas ia tidak berperikemanusiaan.
“Tetapi jika ia bukan sebahagian daripada garis panduan, apakah tindakan yang akan diambil menteri terhadap pihak berkuasa tempatan ini?” soalnya yang juga presiden badan pelindung kucing dan anjing liar, Persatuan Furry Future Selangor.