Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melantik bekas peguam negara Idrus Harun dan tiga individu lain sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Pejabat sekretariat SPK mengumumkan pelantikan Idrus bersama bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, bekas peguam besar negeri Sarawak Talaat Mahmood Abdul Rashid dan penasihat undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Hartini Saripan.
Menurut sekretariat berkenaan, pelantikan ini dibuat berdasarkan Seksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
"Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Nov 2024 hingga 31 Okt 2026," menurut kenyataan sekretariat SPK hari ini.
Sekretariat turut memaklumkan bahawa pelantikan baharu ini dibuat susulan tamatnya tempoh pelantikan anggota SPK terdahulu pada 3 September.
Anggota SPK sebelumn ini Md Raus Sharif, Suriyadi Halim Omar, Abdul Razak Tready dan Profesor Shamrahayu Ab Aziz.
Sekretariat juga menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan oleh anggota terdahulu.