Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disangka polis M'sia, wanita S'pura cuba rasuah kena penjara
Diterbitkan:  Nov 18, 2024 10:32 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Seorang wanita Singapura dijatuhi hukuman penjara tiga minggu selepas mengaku bersalah atas cubaan merasuah.

Wang Xiping melakukan kesalahan itu pada 17 Julai apabila dia ditahan oleh seorang anggota polis bantuan kerana memandu di lorong khas untuk bas dan lori sebaik sahaja melalui imigresen Singapura di Tambak Johor.

Menurut laporan berita dari Singapura, Wang dimaklumkan dia tidak dibenarkan memandu di lorong khas itu dan diarahkan membuat pusingan U ke Kompleks Kastam Woodlands untuk masuk semula ke Malaysia.

Namun, dia menawarkan RM50 kepada anggota itu untuk membenarkannya terus memandu.

Apabila anggota tersebut - yang memakai kamera badan - menolak tawaran itu dan meminta pasportnya, Wang kemudian cuba menawarkan S$50.

Dia kemudiannya ditangkap. Wang dilaporkan memberitahu mahkamah dia kurang fasih berbahasa Inggeris dan menyangka anggota polis bantuan itu bekerja untuk pihak berkuasa Malaysia.

Dia dipercayai menyangka anggota tersebut mahukan lebih banyak wang, sebab itu dia menawarkan rasuah sekali lagi.

Wang mengaku bersalah di mahkamah pada hari Jumaat dan dijatuhi hukuman pada hari sama.

Namun, permulaan hukuman penjaranya ditangguhkan sehingga hari ini (18 Nov) untuk membolehkan dia menyelesaikan urusan berkaitan penjagaan anak kerana suaminya berada di luar negara atas urusan kerja dan tidak dapat pulang ke Singapura dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS