Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurus kilang rugi lebih RM900,000 terpedaya scam pelaburan
Diterbitkan:  Nov 18, 2024 9:11 AM
Dikemaskini: 1:11 AM

Seorang pengurus kilang mengalami kerugian RM943,250 selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan dalam talian, pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata wanita berusia 53 tahun itu telah dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang menawarkan pelaburan dalam bidang perhotelan dan menjanjikan kadar pulangan tinggi serta mudah dalam jangka masa singkat oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata tertarik dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah membuat pembayaran secara pindahan dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM943,250 untuk dilaburkan, pada September hingga Oktober lepas.

"Setelah bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa pelaburannya telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM600,000 namun dia dikehendaki membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan.

"Bagaimanapun, mangsa enggan membuat bayaran tambahan seperti diminta dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis pada Sabtu lepas dengan kerugian dialami berjumlah RM943,250," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama beliau menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dengan pulangan tinggi pada masa singkat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS