Gambar-gambar memilukan dari perang di Palestin menjadi sorotan dalam penghormatan Gerakan Media Merdeka (Geramm) kepada wartawan-wartawan yang membuat liputan di sana.
Video itu dimulakan dengan Hamza Chalan, seorang wartawan dari Gaza, yang memimpin kanak-kanak Palestin melaungkan "Bebaskan Palestin".
Mereka bersorak dan bergelak ketawa dengan khemah-khemah di sekeliling - peringatan jelas kepada penonton bahawa 90 peratus rakyat Gaza telah kehilangan tempat tinggal.
Tajuknya, Tinggal Nama merujuk kepada wartawan yang terkorban dalam konflik yang masih berlaku itu.
Dalam nada tenor, Fahd Aboed melagukan: “Di antara mereka ada kita pewarta/ hanya kata senjata ‘tuk sampaikan kepada dunia”.
Menurut siasatan awal Committee To Protect Journalists (CPJ), sekurang-kurangnya 137 wartawan dan pengamal media telah terkorban sejak konflik di Gaza memuncak pada 7 Oktober tahun lalu.
CPJ menyifatkannya sebagai "tempoh paling bahaya untuk wartawan" sejak mereka mula mengumpulkan data pada tahun 1992.
“Sejak perang di Gaza bermula, wartawan telah membayar harga yang paling mahal - nyawa mereka - untuk membuat liputan.
“Tanpa perlindungan, peralatan, komunikasi, atau makanan dan air, mereka masih menjalankan tugas penting mereka untuk menceritakan kebenaran kepada dunia, kata pengarah program CPJ, Carlos Martinez de la Serna dalam kenyataan.
Daripada 137 wartawan yang terkorban, 129 adalah warga Palestin, enam warga Lubnan, dan dua warga Israel.
CPJ berkata pihaknya masih menjalankan penyelidikan terhadap sekurang-kurangnya 22 lagi kes, yang mana wartawan mungkin telah menjadi sasaran langsung.
Tribut kepada wartawan seluruh dunia
Lagu dalam video muzik Geramm itu merupakan karya sepupu Fahd, Alyaa Alhadjri, yang wartawan Malaysiakini dan penyelaras Geramm.
Alyaa mula menulis lirik untuk Fahd pada 2021 ketika dia mula ingin meneroka penulisan lagu dalam bahasa Inggeris.
Lirik untuk "Tinggal Nama" ditulis sekitar ketika Geramm menganjurkan himpunan SavePress4Gaza.
“(Lagu ini adalah) penghormatan untuk wartawan yang meninggal dunia di Gaza, dan semangat untuk wartawan di sini dan di seluruh dunia yang masih bekerja,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia menyerahkan soal melodi dan perasaan yang ingin disampaikan lagu itu kepada Fahd sendiri.
Video muzik ini dihasilkan oleh wartawan Nikkei Asia, Norman Goh, yang mengambil video-video dari media sosial.
Goh juga menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan beberapa visual dalam video tersebut.