Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabah cukup ‘berharga’ buat ahli politik kerajaan, pembangkang - Zaid
Diterbitkan:  Nov 17, 2024 9:34 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Dengan Sabah dan Sarawak menjadi penentu dalam politik di Malaysia, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata ahli politik kerajaan dan pembangkang dilihat tidak bersedia menggugat kestabilan di sana.

“Lihat bagaimana ahli politik dari Semenanjung melindungi (ring-fence) kerajaan Sabah daripada tuduhan rasuah besar-besaran.

“Agensi kerajaan persekutuan dan pemimpin pembangkang bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada pemimpin Sabah,” katanya di X hari ini.

Dalam nada menyindir, Zaid membuat perbandingan dengan Korea Selatan dengan berkata ahli politik di Malaysia bernasib baik.

“Mereka tahu bila masanya untuk menjaga memelihara aset yang baik, merapatkan barisan dan melindungi satu sama lain di saat sukar, tanpa mengira parti, berbanding ahli politik di Korea Selatan.

“Memang banyak perkara yang kita boleh ajarkan kepada dunia,” tambahnya dalam hantaran bertajuk “Sabah is precious”.

Ahli politik bersatu

Zaid mengulas dakwaan skandal rasuah yang mengaitkan kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, susulan pendedahan beberapa video oleh pemberi maklumat sejak minggu lalu.

Merujuk Korea Selatan, Zaid membangkitkan presiden kesembilannya, Roh Moo Hyun, yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang baik.

“Semasa perkhidmatannya, ekonomi berkembang pesat dan demokrasi mekar. Selepas bersara, dia kembali ke kampung halaman untuk menternak itik.

“Tetapi seteru politiknya tidak membiarkan dia hidup dengan tenang. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam rasuah.

“Seorang yang berhati baik, Roh tidak mampu lagi menghadapinya Dia membunuh diri kerana tertekan dengan luka yang terpaksa ditanggung orang tersayangnya. Politik Korea sangat kejam. Lebih separuh daripada bekas presiden yang masih hidup dipenjarakan. Park Chung Hee dibunuh, dan Chun Doo Hwan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zaid berkata keadaan berbeza di Malaysia.

“Kecuali (bekas perdana menteri) Najib Razak, pemimpin tertinggi biasanya tidak menunjukkan kebencian yang mendalam terhadap satu sama lain, melainkan hanya serangan mulut dan permainan politik.

“Mereka menunjukkan solidariti sesama mereka,” kata Zaid.

Pada 2020, GRS memberi sokongan kepada Presiden PN Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri, susulan keruntuhan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin dan Hajiji ketika PRN Sabah 2020

Selepas PRU yang lalu yang berakhir dengan kebuntuan politik, GRS memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Ketika itu, Hajiji berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan kestabilan politik dan melindungi kepentingan rakyat Sabah.

Selepas pilihan raya umum yang lalu, yang berakhir dengan kebuntuan politik, GRS menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Pada masa itu, Hajiji berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan kestabilan politik dan melindungi kepentingan rakyat Sabah.

Umno penerima manfaat utama

Dalam salah satu video yang didedahkan oleh pemberi maklumat, Adun Kemabong Rubin Balang mendedahkan dia merupakan penyokong Muhyiddin sejak sekian lama.

Mengimbas apa yang berlaku selepas PRU 2022, ketika Anwar dan Muhyiddin bersaing untuk jawatan perdana menteri, Rubin berkata, “kami tandatangan untuk beri kepada Muhyiddin tetapi tidak ada apa-apa balasan diberikan. Kami tanda tangan untuk dia, tandatangan sokong dia.

“Tetapi Muhyiddin tidak jadi PM, kami kemudian pergi kepada PMX,” katanya.

Semalam, ketua pembangkang Hamzah Zainudin mempersoalkan motif pemberi maklumat itu yang memohon perlindungan dan kekebalan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Pemimpin PH juga berdiam diri mengenai perkara ini manakala Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin - yang mungkin menjadi orang yang paling banyak meraih manfaat jika kerajaan Hajiji tumbang - menjadi satu-satunya individu yang kelihatan berbeza apabila menggesa pihak berkuasa menyiasat kedua-dua pihak yang didakwa memberi dan menerima rasuah.

Namun, Bung dan Umno Sabah menafikan sebarang penglibatan dalam isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS