Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pihak tuduh PM sokong Israel hanya nak raih keuntungan politik’

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang menentang Israel adalah sangat jelas.

Saifuddin berkata tuduhan bahawa kerajaan dan perdana menteri menyokong Israel hanya bertujuan mahu meraih keuntungan politik semata-mata.

Katanya, dia kesal apabila pendirian Anwar dalam perkara itu masih lagi dipertikai sedangkan kerajaan sudah menjelaskannya berulang kali.

"Berpolitik pun biarlah ada sempadan...takkanlah sampai tak boleh buat penilaian langsung. Saya percaya bahawa rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu membuat penilaian.

"Sebab itu, kita minta hentikanlah tapi kalau dah berlebihan, ya tentulah pendekatan penguatkuasaan kita ambil," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di Bandar Baharu, Kedah hari ini.

Sebelum ini, Anwar membidas pihak yang masih memfitnahnya berhubung isu sokongan kepada Israel serta menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat.

Semalam, dia sekali lagi menegaskan Malaysia tetap konsisten dengan pendiriannya terhadap isu Israel dan Palestin sambil menekankan Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS