Naib Pengerusi DAP Teresa Kok melahirkan kebimbangan serius terhadap laporan mengenai cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut kenyataan daripada pelbagai organisasi media, perubahan yang dicadangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu bakal meningkatkan pengawasan dan penalti terhadap media termasuk mengembalikan semula syarat pembaharuan lesen media, memperluaskan takrifan "penerbitan," dan mengenakan hukuman yang lebih keras.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata langkah berkenaan akan menimbulkan ancaman besar kepada kebebasan akhbar di Malaysia dan mengkhianati komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan keterbukaan.
Menurutnya dasar ke belakang itu bukan sahaja akan melemahkan peranan media sebagai badan pemerhati demokrasi tetapi juga membawa kepada sekatan dan penalti yang lebih ketat untuk pengguna platform dalam talian dan media profesional.
“Kebebasan akhbar adalah asas kepada masyarakat demokratik. Sebagai kerajaan yang komited untuk melakukan pembaharuan, kita tidak boleh membenarkan sebarang pindaan menjadi alat untuk mengekang kebebasan media,” katanya.
Kok menggesa KDN untuk bersikap telus dalam perkara itu. Katanya, walaupun pindaan itu akan memberi kesan besar kepada media, wartawan dan orang ramai, KDN tidak mengeluarkan draf pindaan yang dicadangkan atau berunding dengan pelbagai pihak termasuk ahli parlimen pembangkang.
Dia menyifatkan keputusan yang dibuat secara tertutup itu bertentangan dengan prinsip demokrasi dan memberi amaran ia boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti kerajaan.
Ahli Parlimen Seputeh itu menggesa KDN mengambil langkah-langkah segera seperti berikut:
1) Terbitkan draf pindaan untuk pastikan ketelusan:
- Kerajaan mesti menggariskan dengan jelas tujuan dan spesifik cadangan pindaan untuk menangani kebimbangan orang ramai.
2) Libatkan pihak berkepentingan dan kumpul maklum balas:
- Proses pindaan harus merangkumi input daripada organisasi media, wartawan, kumpulan masyarakat sivil, dan pakar undang-undang untuk memastikan keputusan adalah adil dan bermaklumat.
3) Hormati kebebasan akhbar dan hormati komitmen pembaharuan
- Semua pindaan mesti mengutamakan untuk melindungi kebebasan media dan kebebasan akhbar ketimbang menggunakan undang-undang yang ketat untuk menyekat suara media.